KUALA LUMPUR - Sebanyak 36,432 saman dikeluarkan pihak polis bagi tujuh hari pertama Op Hormat Undang-Undang (HUU) yang akan berakhir pada 29 September ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi tersebut melibatkan 45 pegawai kanan polis dan 754 pegawai rendah polis di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
Katanya, antara kesalahan yang menerima jumlah saman tertinggi adalah halangan lalu lintas (27,755), lain-lain kesalahan (5,880) dan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki (1,523).
"Sepanjang tempoh penguatkuasaan undang-undang, polis Kuala Lumpur telah membuat tangkapan seramai 59 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik.
"Kami turut membuat sitaan sebanyak 29 buah kenderaan di mana 27 daripadanya adalah motosikal dan sebuah lori,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua di ibu kota.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan memberikan pengurangan saman buat mereka yang dikenakan tindakan dalam tempoh operasi berkenaan.
"Kita kekalkan tiada diskaun ditawarkan untuk saman dan polis Kuala Lumpur masih kekalkan pendirian itu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
"Diharapkan orang ramai dapat meningkatkan lagi kesedaran atas pentingnya menjaga keselamatan diri dan orang lain.
"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.
Allaudeen berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan semula berikutan impak positif dalam kalangan pengguna terhadap kepatuhan peraturan jalan raya.
Katanya, polis Kuala Lumpur memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.
Polis Kuala Lumpur melaksanakan operasi Hormat Undang-Undang fasa dua dengan lebih tegas membabitkan kesalahan jalan raya di sekitar ibu negara bermula 15 September sehingga 29 September.