KUALA LUMPUR - Berada kembali bersama komuniti menjadi satu cabaran besar kepada kumpulan bekas penagih dadah yang telah mendapat rawatan pemulihan.
Perasaan 'resah' untuk bersama masyarakat sebenarnya sudah mula dirasai ketika mana hendak melangkah keluar dari pintu pusat pemulihan.
Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, Nur Shuhaila A Rahman berkata, pelbagai tanggapan dan stigma penolakan bermain di fikiran semua bekas penagih atau mesra dipanggil sebagai klien.
Beliau berkata, kebanyakan klien berasa takut sekiranya mereka tidak diterima masyarakat atau menerima pandangan serong.
Menurutnya, bukan perkara itu sahaja berlegar di fikiran, malah 'ancaman' terbesar adalah takut terjebak kembali dengan najis dadah.
"Oleh sebab itu, sokongan daripada ahli keluarga dan insan tersayang sangat penting bagi memberi kekuatan kepada mereka, seterusnya menjalani kehidupan normal.
"Malah mereka diminta untuk mengamalkan apa yang telah diperoleh semasa berada di pusat pemulihan agar tidak kembali terjebak dengan najis dadah.
"Malah ada yang mengambil keputusan berhijrah ke tempat baharu bagi memulakan hidup, seterusnya jauh daripada kelompok penagih yang dikenali selama ini," katanya.
Nur Shuhaila berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Program Retreat Media Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tahun 2023 di Sungai Besi, dekat sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan keboleh keupayaan kembali menjalani kehidupan normal bersama masyarakat, persiapan diri klien menjadi keutamaan Puspen.
Katanya, bukan sahaja mempersiapkan diri dengan kemahiran bagi meneruskan kehidupan seharian, tahap disiplin dan kekuatan dalaman diri klien juga dipertingkatkan sebaik mungkin.
Menurutnya, perkara itu sangat penting bagi menjadi pendinding ampuh menempuhi ujian di dunia sebenar.
"Ketahanan, semangat serta jati diri kuat sahaja yang akan melindungi mereka daripada kembali terjebak dengan najis dadah.
"Ini kerana pergaulan serta persekitaran akan menjadi penyumbang kepada mereka untuk kembali menagih," ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai peratusan pengekalan kepulihan, Nur Shuhaila berkata, sekitar 75 peratus klien pulih dan menjalani kehidupan normal.
Jelasnya, perkara itu mungkin agak sukar dicapai tetapi tidak pula mustahil sekiranya klien benar-benar ingin berubah.