DVS laksana pelbagai tindakan cegah, kawal rabies

Iklan
DVS menjalankan pelbagai tindakan dalam mencegah, mengawal dan membasmi penyakit rabies daripada menular dan muncul semula di dalam negara. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan pelbagai tindakan dalam mencegah, mengawal dan membasmi penyakit rabies daripada menular dan muncul semula di dalam negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DVS, Dr Suratan Kamarudin berkata, antara pendekatan diambil ialah membentuk kawasan penampan di bahagian utara Semenanjung melibatkan negeri-negeri bersempadan dengan negara berisiko tinggi untuk terkena jangkitan penyakit itu.

Iklan
Iklan

"Ini bagi memastikan segala bentuk tindakan kawalan oleh pihak berkuasa dapat dijalankan dengan berkesan di kawasan terbabit, selain menjalankan kawalan populasi anjing terbiar secara efektif.

"Setiap anjing bertuan diwajibkan mendapatkan suntikan imunisasi penyakit rabies, melesenkan anjing, memelihara anjing di dalam kawasan rumah dan diikat jika dibawa keluar berjalan-jalan,” katanya dalam Program Apa Khabar Malaysia bertajuk Sambutan Hari Rabies Sedunia Tahun 2023 terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, pihak DVS telah memvaksin 7,430 anjing bertuan termasuk 6,230 ekor di kawasan penampan di Semenanjung dan Sabah sebagai usaha meningkatkan liputan imuniti anjing sebanyak 70 peratus bagi memastikan jangkitan rabies dapat dihindari dalam populasi haiwan itu.

"Bagi memastikan setiap anjing ini mendapat imuniti yang mencukupi, daya jejak melalui pelesenan anjing turut dijalankan. Kempen kesedaran juga giat dilaksanakan kepada orang awam dan kanak-kanak sekolah berkaitan penyakit rabies,” katanya.

Iklan

Dr Suratan berkata, liputan perlindungan pelalian vaksin ke atas anjing bertuan di negara ini telah mencapai 70 peratus daripada populasi, sekali gus dapat menghidari penyakit rabies daripada merebak dalam kalangan haiwan itu dan mencegah ia menjangkiti manusia.

"Malaysia belum bebas daripada penyakit berkenaan dan setakat ini Sarawak sahaja yang sedang menghadapi penyakit tersebut. Statistik di negeri itu bagi tempoh Julai 2017 hingga Ogos 2023 merekodkan seramai 72 orang dijangkiti rabies dengan jumlah kematian 65 orang.

"Diharapkan orang ramai dapat terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menjadi pemilik haiwan bertanggungjawab dan memastikan anjing peliharaan mereka divaksin terhadap rabies,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Rabies Sedunia 2023, Dr Suratan mengajak orang ramai datang memeriahkan sambutan itu yang akan diadakan di Hospital Veterinar Kuala Lumpur (HVKL) bermula 8 pagi hingga 6 petang pada 1 Okt ini, dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.

Antaranya pertandingan fotografi dalam talian, pertandingan mewarna, pertunjukan demonstrasi anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, demonstrasi video pertolongan cemas oleh Kementerian Kesihatan serta gerai jualan makanan seperti Fatihah Frozen, Abang Grab Kopitiam dan Puspanita.

Seiring dengan tema sambutan iaitu"Semua untuk 1, Satu Kesihatan untuk semua”, beliau berkata penglibatan semua pihak melibatkan agensi lain, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat awam adalah antara penekanan yang perlu dilaksanakan dalam pencegahan, kawalan dan pembasmian rabies. - Bernama