PEMAIN sensasi, Jude Bellingham memacu kemenangan Real Madrid menerusi gol lewat permainan ketika mengalahkan pendatang baharu Liga Juara-Juara, Union Berlin awal pagi Khamis.
Kemenangan itu bukan diraih dengan mudah apabila skuad kendalian Carlo Ancelotti diasak daripada segenap sudut oleh wakil Jerman tersebut.
Dalam aksi di laman sendiri itu, Bellingham meledak jaringan pada minit ke-94 bagi membantu kelab Sepanyol tersebut daripada diaibkan kelab Bundesliga berkenaan.
Ancelotti mengakui Bellingham memiliki karakter istimewa bagi membantu pasukan dan ia terbukti pada perlawanan tersebut.
"Dia (Bellingham) juga ada tuah. Gol itu bola muntah dan dia ada di sana. Dia datang dari tengah dan lebih bersedia berbanding pemain lain,” ujar Ancelotti.
Pemain antarabangsa England itu memulakan kariernya di Madrid dengan keupayaan jaringan menakjubkan enam gol dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan.
"(Bellingham) mempunyai kualiti hebat dan menggunakan kelebihan itu,” kata Ancelotti.
Madrid ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan C di belakang Napoli dengan berkongsi tiga mata namun, dipisahkan atas perbezaan gol.
Napoli turut menang tipis ke atas Braga dengan keputusan 2-1.