KEMENANGAN Inter Miami ke atas Toronto FC 4-0 dalam aksi Liga Bolasepak Utama (MLS) dibayar dengan harga mahal apabila terpaksa melupakan sementara khidmat bintang sensasi mereka, Lionel Messi akibat kecederaan.
Kapten Argentina itu kembali dalam kesebelasan utama selepas tidak beraksi ketika Miami kalah 2-5 kepada Atlanta hujung minggu lalu kerana kecederaan otot.
Bagaimanapun pemain berusia 36 tahun itu meninggalkan padang pada minit ke-38 dalam keadaan tidak selesa.
Bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Jordi Alba turut dikeluarkan tiga minit sebelum itu.
"Mereka terpaksa dikeluarkan, kami akan menilai mereka dalam beberapa hari ini,” kata jurulatih Miami, Gerardo Martino.
Di sebalik kehilangan dua tonggak pasukan itu, Miami mudah menundukkan kelab tangga tercorot, Eastern Conference.
Dalam aksi di Stadium DRV PNK itu, Facundo Farias membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama.
Pemain gantian Taylor menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-54 dan dia turut mengumpan bola buat Benjamin Cremaschi untuk gol ketiga Miami.
Taylor sekali lagi mempamerkan bisanya apabila meledak gol keempat untuk mengesahkan kemenangan Miami.
Miami yang akan berkunjung ke Orlando Ahad ini mendaki ke tangga ke-13 Eastern Conferfence, lima mata di belakang DC United kendalian Wayne Rooney yang menghuni tangga kesembilan - kedudukan terakhir ke playoff.