DUN Perak bersidang 3 hari bahas RUU Sumber Air

Iklan
Mohammad Zahir (tengah) menunjukkan komputer riba yang disediakan kepada semua ADUN untuk kemudahan mereka berkaitan urusan DUN Perak ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak, Ipoh pada Khamis.

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bersidang selama tiga hari bermula 25 September depan bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air 2023.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, RUU Sumber Air merupakan undang-undang baharu bagi menggantikan undang-undang seumpama itu sejak sebelum merdeka selain menggabungkan RUU Pembangunan Pesisir Pantai Perak yang pernah dibentangkan pada tahun 2017.

Iklan
Iklan

Jelasnya, RUU tersebut menambah baik dan melengkapkan undang-undang sebelumnya memandangkan terdapat banyak pembaharuan terhadap pembangunan ketika ini.

"RUU Sumber Air Perak ini baharu dan saya dimaklumkan dalam Malaysia sudah laksanakan kecuali dua negeri iaitu Perak dengan Perlis.

Iklan

"RUU ini lebih komprehensif dan sesuai dengan masa serta perkembangan semasa industri, pertanian, pelancongan dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choi Tsi Jen dan Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah.

Iklan

Mohammad Zahir berkata, enakmen tersebut akan dibentangkan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada hari pertama persidangan diikuti perbahasan RUU tersebut.

Menurutnya, seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan RUU tersebut dengan penyokong kerajaan dan ketua pembangkang diberi masa selama 30 minit bagi setiap seorang untuk berbahas.

Sementara itu katanya, bagi setiap pembahas yang lain diberikan masa selama 15 minit seorang untuk mengemukakan pandangan mengenai RUU tersebut.

"Tempoh masa sesi penggulungan bagi RUU berkenaan akan dibuat oleh Mohammad Nizar diberikan selama 60 minit.

"Seperti kelazimannya, sepanjang tiga hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung. Tempoh sesi soalan lisan adalah selama 90 minit," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir berkata, sebagai salah satu usaha mendigitalkan DUN Perak, semua ADUN diberikan komuter riba yang dilengkapi sistem e-Dewan.

Menurutnya, kemudahan baharu tersebut juga akan memudahkan lagi urusan ADUN-ADUN ketika persidangan DUN mahu pun urusan-urusan lain berkaitan DUN Perak.