Pembangunan sistem Padu kini capai 60 peratus - Rafizi

Iklan
Rafizi (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus pembangunan Padu bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah kementerian dan agensi yang menjadi rakan strategik di Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA - Proses pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dijadual untuk digunakan bermula Januari 2024 bagi memastikan penyaluran subsidi dibuat secara adil kepada rakyat kini telah mencapai 60 peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun proses melengkapkan sistem itu dalam masa yang singkat agak mencabar namun pihaknya akan berusaha memastikan ia dapat disiapkan.

Iklan
Iklan

"Selepas kerajaan memutuskan menubuhkan Padu pada Mei lalu, kita mula bangunkan sistem ini pada Jun.

"Jadi dalam tempoh lebih kurang dua bulan sahaja (kita capai tahap) 60 peratus sekarang. Saya boleh cakap (ia sebenarnya) mencabar untuk ia mula diguna Januari depan. Namun dalam tempoh tiga bulan ke depan kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus pembangunan Padu bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah kementerian dan agensi yang menjadi rakan strategik pembangunan sistem itu, di sini pada Khamis.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar di negara ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, dalam membangunkan sistem berkenaan, pihaknya menetapkan jadual dan garis masa yang jelas iaitu ujian pertama Padu akan dilakukan pada November ini sebelum ia dibuka kepada kepada orang ramai.

"Setakat ini segalanya berjalan seperti garis masa walaupun cabaran untuk menggabungkan data dan maklumat 33 juta rakyat Malaysia adalah tempoh yang pendek adalah sesuatu yang sangat mencabar.

"Tetapi kerajaan melihat Padu sebagai satu langkah yang mesti dibuat, bukan sahaja demi untuk memastikan pelaksanaan subsidi bersasar nanti berlaku adil kepada semua isi rumah tetapi bagi menjadikan Padu 'nukleas' kepada rancangan kerajaan untuk beralih menjadikan 'kerajaan berteknologi termaju'," ujarnya.

Tambah Rafizi, dengan adanya Padu dan maklumat yang tepat, ia membolehkan kerajaan merangka program dan strategi yang berpandukan kepada data dan analisis.

Katanya, ia akan membantu kerajaan menguji secara kuantitatif dan kualitatif bagi memastikan program dan peruntukan benar-benar berkesan dan sampai kepada kumpulan sasaran.

Sementara itu, Rafizi menegaskan, sistem Padu itu yang dibangunkan dan dikendalikan sepenuhnya penjawat awam juga dilaksanakan supaya penjawat awam negara ini menjadi rujukan dunia dalam tempoh dua tiga tahun dari sekarang.

Menurutnya, keseluruhan sistem Padu dikendalikan oleh penjawat awam kerana kerajaan mahu memastikan kemahiran dan kepakaran berasaskan data digital dan sistem itu dikumpul dan dibangunkan dalam perkhidmatan awam.

"Itu juga satu cabaran yang kerajaan berikan kepada penjawat-penjawat awam, aspirasi kita supaya dua tiga tahun dari sekarang selepas Padu dilaksanakan penjawat awam kita menjadi rujukan dunia dari segi kemahiran, kepakaran dan kemampuan menukar perkhidmatan awam daripada apa yg ada kepada digitalisasi, teknologi kerajaan dan data," katanya.