Stok beras tempatan ditambah, elak kekecohan di outlet FAMA - Mat Sabu

Iklan
Mohamad (tengah) meninjau bekalan beras putih tempatan di Agrobazaar Kedai Rakyat milik usahawan bimbingan FAMA di Jalan Kebun Tambahan, Seksyen 30 pada Khamis.

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan segera berbincang dengan pengilang dan pemborong untuk menambah stok beras putih tempatan ke outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini bagi mengelakkan kekecohan seperti yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak pada Rabu berulang.

Iklan
Iklan

Mengulas mengenai kekecohan tersebut, beliau memaklumkan, hanya dua daripada 35 outlet FAMA yang menjual beras putih tempatan mengalami sedikit kekecohan.

"Dua outlet itu ialah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan di Bagan Datoh, Perak. Kekecohan berlaku disebabkan oleh stok yang sampai ke outlet tersebut tidak mencukupi sekali gus menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana telah menunggu lama," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas meninjau bekalan beras putih tempatan di Agrobazaar Kedai Rakyat milik usahawan bimbingan FAMA di Jalan Kebun Tambahan, Seksyen 30 di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau turut mengarahkan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) berbincang segera dengan pengilang dan pemborong untuk menambah stok beras putih tempatan kepada pihak FAMA dan LPP supaya insiden seperti itu tidak berulang di masa depan.

Iklan

"Saya juga telah mengarahkan bekalan beras putih tempatan segera dihantar ke semua pasar raya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada outlet FAMA dan LPP," katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok supaya lebih ramai pengguna dapat membeli beras berkenaan.

"Saya dimaklumkan semalam ada pembeli yang menggunakan empat orang berbeza untuk membeli sehingga lapan kampit beras 10 kilogram sedangkan dua kampit 10 kilogram sudah cukup untuk kegunaan dirinya sekeluarga.

"Jangan khuatir kerana dari semasa ke semasa stok beras putih tempatan akan dihantar ke pasar raya dan bekalan dijangka kembali stabil dalam beberapa minggu lagi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak dan pengusaha kantin serta pengusaha pusat tahfiz supaya berhubung dengan FAMA dan LPP bagi menempah bekalan beras yang diperlukan.

"Sehingga kini, FAMA telah mengedarkan 244 metrik tan beras putih tempatan ke seluruh negara menerusi outlet usahawan bimbingan FAMA.

"KPKM juga menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk FAMA dan LPP mengedarkan beras putih tempatan ke kawasan yang terjejas bekalan," tambahnya.