KLANG – Kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama yang pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, Sabtu lalu selesai, kira-kira jam 4 petang semalam.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan bekalan air yang dihadapi oleh warga Klang susulan kejadian itu kini sudah pulih sepenuhnya.
"Pemasangan jajaran paip baharu ini merupakan penyelesaian kekal bagi penyaluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang dan telah dapat meningkatkan kapasiti air terawat dan pemulihan sepenuhnya kepada semua kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihak Air Selangor turut memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan bekalan air berkenaan dan tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan dan pemulihan bekalan.
Jelasnya, ini kerana kerja pembaikan berkenaan perlu dilakukan dengan berhati-hati berikutan tapak pembinaan yang berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas aset dan pekerja.
"Sepanjang kerja pembaikan berlaku, beberapa pergerakan tanah dan kebocoran lain di jajaran paip yang sama.
"Situasi ini menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air yang disasarkan ditunda beberapa kali,” katanya.
Insiden tiga paip utama pecah di tapak projek WCE sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.