43 pekerja pembersihan kesempitan, gaji tertunggak dua bulan

Iklan
Beberapa pekerja pembersihan melakukan piket aman di tepi Jalan Kuala Krai-Gua Musang pada Khamis berikutan belum menerima tunggakan gaji pada Julai dan Ogos.

KUALA KRAI - Seramai 43 pekerja pembersihan di daerah ini berdepan kesempitan wang apabila dua bulan gaji mereka didakwa tertunggak sejak Julai lalu.

Keadaan itu menyebabkan ada di antara mereka terpaksa berhutang dengan saudara-mara untuk membayar bil elektrik, air dan sewa rumah masing-masing.

Iklan
Iklan
Siti Nur Hasanah

Salah seorang daripada mereka, Siti Nur Hasanah Che Wil, 40, berkata, dia yang sepatutnya menerima gaji bersih sebanyak RM1,350 mendakwa gaji pada Julai dan Ogos belum dibayar sehingga menyebabkannya gagal menjelaskan bayaran sewa rumah sebanyak RM260 sebulan.

"Saya ibu tunggal yang perlu menyara lima anak berusia tiga hingga 21 tahun dan dua daripada mereka bersekolah di prasekolah serta darjah enam tetapi gaji sudah dua bulan tidak dibayar.

Iklan

"Tuan rumah sudah banyak kali bertanyakan bila nak jelaskan sewa dan saya bimbang kena halau keluar kalau terus tak ada duit untuk membayarnya,” katanya ketika ditemui di piket aman di tepi Jalan Kuala Krai-Gua Musang di sini pada Khamis.

Mohammad Fikri

Seorang lagi tukang cuci, Mohammad Fikri Mat Nor, 43, yang tinggal di Telekung berkata, dia terpaksa berhutang dengan adik-beradik dan saudara-mara untuk menyediakan wang saku persekolahan dua anak enam dan tujuh tahun yang bersekolah.

Iklan

Lebih menyedihkan, ujarnya, ada hari dalam tempoh dua bulan itu, anak-anaknya tidak membawa wang saku ke sekolah kerana dia sudah tebal muka hendak meminjam wang daripada orang lain.

"Kadangkala ada cikgu-cikgu di tempat kerja saya yang kesian dan membantu memberikan beras untuk saya sekeluarga makan.

"Kalau diajak makan oleh kawan-kawan di luar, saya tak akan makan kerana teringat anak-anak dan isteri di rumah yang lapar,” katanya sebak.

Ibrahim

Dalam pada itu, tukang cuci, Ibrahim Abd Rahim, 59, berharap tunggakan itu diselesaikan dengan cepat kerana sudah tidak sanggup menanggung beban hutang dan menunggu lebih lama.

"Saya bekerja dengan syarikat kontrak ini bersama anak ketiga, Siti Nur Syafilla Ibrahim,19, dan sepatutnya dia bantu saya tetapi kini kami dua-dua tidak dibayar gaji.

"Sebelum ini, gaji pernah lewat tetapi paling lama dalam tempoh seminggu sahaja, sekarang sudah dua bulan masih belum ada gaji,” ujar lelaki itu.

Sementara itu, majikan mereka yang dihubungi pemberita mengakui kelewatan bayaran gaji ke atas pekerja-pekerjanya disebabkan berdepan masalah kewangan dan pusingan modal.

Menurut beliau, keadaan kelewatan pembayaran gaji itu tidak pernah berlaku sehinggalah pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dikuatkuasakan dan memberi bebaban kepada syarikat bermula Mei tahun lalu.

"Pihak kami sudah mengadakan perbincangan dan dalam usaha membayar kesemua tunggakan gaji pekerja kerana amat memahami kesempitan yang mereka hadapi.

"Kami terpaksa menggunakan wang syarikat sebagai pusingan dan membuat pinjaman bank bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum tamat bulan ini,” kata beliau.