SHAH ALAM - Seramai 1,551 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah akan bermalam di 25 muzium seluruh negara pada Jumaat.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata, ia bertujuan untuk menyuburkan semangat cintakan tanah air sekali gus memupuk apresiasi tinggi terhadap warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman.
"Program ini bermula sejak 2005 di Muzium Negara dan menjadi salah satu program utama oleh Jabatan Muzium Malaysia.
"Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung antaranya Aktiviti Ekspresi Ikat dan Celup baju-T putih menggunakan warna jalur gemilang iaitu kuning, merah serta biru secara serentak oleh semua peserta,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, aktiviti penghayatan Rukun Negara dijadikan salah satu acara wajib sejajar dengan inisiatif KPN dalam memperkasakan prinsip tersebut kepada semua peringkat.
"Program itu turut dilihat sebagai satu tapak integrasi kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, budaya, bangsa dan agama.
Dalam masa sama, Ketua Setiausaha Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, penganjuran program berkenaan amat bertepatan dan bersesuaian kepada pelajar bagi menerapkan nilai baik serta pemahaman terhadap citra negara.
Jelas beliau, pihak KDN akan sentiasa memberi sokongan jitu terhadap program yang memberi penekanan kepada penyatuan masyarakat.