MELAKA - Polis mengesahkan mayat hampir reput yang ditemui dengan beberapa kesan tikaman di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning di sini minggu lalu adalah pemuda dari Tampin, Negeri Sembilan yang dilaporkan hilang.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat mangsa baharu diperolehi dan disahkan identiti sebagai pemuda, R Darvnrajh, 24, yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 10 September lalu.
Media pada Isnin lalu melaporkan mengenai mayat hampir reput tanpa identiti ditemui orang awam di tepi jalan kebun sawit, Ladang Gadek, Kemuning dekat sini pada Sabtu lalu.
Zainol berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa yang ditemui kira-kira jam 10 pagi itu dipercayai ditikam beberapa kali dengan senjata tajam sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, tulang kepala mangsa juga mengalami retak pada bahagian sebelah kiri, tulang rahang retak di beberapa bahagian selain dua tulang leher, tulang tangan kanan, tulang lutut dan kaki patah.
Terdahulu Sinar Harian turut melaporkan luluh hati seorang ibu apabila dimaklumkan mengenai penemuan mayat dibunuh di lokasi itu dipercayai anaknya.
Vathma, 55, berkata, walaupun polis belum mengesahkan itu adalah mayat anaknya, yang dilaporkan hilang sebelum ini, namun menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, Vathma mengakui lelaki yang dipukul tiga individu lain merupakan mangsa.