PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner enggan mendabik dada walaupun pasukan kendaliannya berjaya mengejutkan kelab Australia, Central Coast Mariners 1-0 dalam aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.
Menurutnya, skuad penyu itu bernasib baik apabila Central Coast Mariners gagal menyudahkan banyak peluang selain kekebalan benteng pertahanan membantu TFC meraih tiga mata berharga.
"Kami gembira kerana berjaya meraih tiga mata. Secara jujurnya, kami bernasib baik kerana dalam banyak situasi mereka (Mariners) gagal menyudahkan peluang mereka.
"Tetapi, kami juga mencipta peluang lima hingga enam peluang. Separuh masa kedua juga banyak peluang dan serangan balas berjaya kami cipta.
"Pasukan lawan memang kuat, namun sekali lagi nasib memihak kami dan perlawanan berkesudahan kami menang. Tahniah kepada para pemain," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal TFC diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain lawan, Nathan Paull pada penghujung separuh masa pertama.
Dalam pada itu, Steinbruckner turut memuji barisan pemain pertahanan yang bertindak cemerlang dan mahu rentak itu diteruskan untuk perlawanan akan datang.
"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka yang tidak gentar untuk berdepan serangan Mariners.
"Semua pemain di posisi pertahanan itu adalah pemain tempatan dan ada pemain muda seperti Azam Azmi dan Safwan Mazlan selain Arif Fadzilah yang tidak beraksi kerap musim ini, tetapi menunjukkan persembahan yang memuaskan," katanya.