KOTA BHARU - Peningkatan harga beras Siam sejak nilai ringgit tidak menentu berbanding Bath Thailand menyebabkan orang ramai mula beralih kepada belian secara timbang sehingga ada dalam kalangan peniaga tidak menang tangan.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Ketereh dan Kok Lanas mendapati rata-rata peniaga memberitahu jualan beras Siam secara timbang menjadi rebutan mutakhir ini berbanding sebelumnya.
Situasi itu diakui sendiri oleh peniaga runcit, Zakiah Muhamad, 42, yang mendedahkan sejak beras Siam mengalami kenaikan harga orang ramai mula membeli makanan ruji itu sekitar sekilogram atau 2kg yang dijual dengan harga RM6 sekilogram.
"Sebelum ini, saya menjual sekilogram beras Siam RM4 sahaja tetapi sekarang ia telah naik sekitar RM2.
"Bukan sahaja mahal tetapi bekalan juga sukar diperoleh. Di sini beras tempatan atau import biasa langsung tidak laku,” katanya.
Ujar Zakiah yang sudah 18 tahun berniaga, jika sebelum ini beras Siam 5kg hanya sekitar RM14 hingga RM15 sahaja.
Menurut dia, beberapa bulan ini beras Siam 5kg sudah mencecah sehingga RM21.
Bagi Norizati Zulkifli, 27, tidak semua pembeli mampu membeli beras 5kg dengan harga sekarang yang hampir mencecah RM21.
"Boleh dikatakan pelanggannya ramai yang bekerja kampung dan sendiri, jadi duit RM50 itu mereka bukan sekadar ingin beli beras, tetapi bahan mentah lain seperti minyak masak, gula, bawang dan semua ini juga mengalami kenaikan harga.
"Apa yang menjadi masalah sekarang sudahlah harga 25 kilogram beras Siam sudah mencecah RM103 malah hendak dapatkan stok pun sukar,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia terpaksa menghentikan sementara waktu jualan timbang kilo kerana beras Siam tiada bekalan.
Ujarnya, kadang kala dia terpaksa membuka beras Siam 5kg apabila kesian pada pelanggan yang merayu.
Peniaga runcit di Kok Lanas, Chuah Chai Chye, 63, pula berkata, beras timbang kilo mendapat permintaan tinggi dan dia telah lama menjual dengan cara itu.
Baginya, orang ramai masih mampu membeli beras Siam 5kg namun ada yang memilih membeli yang timbangan.
"Sekilogram RM5 atau RM4 sahaja bergantung pada jenama. Kalau beli 5kg, harga paling murah RM20,” ujarnya.