TELEKUNG menjadi antara barang popular untuk diwakafkan. Lebih-lebih lagi untuk kegunaan jemaah Muslimah di masjid.
Masakan tidak, ramai yang mengejar pahala kebaikan. Imbalannya tidak terhitung jumlahnya kerana ia digunakan ketika seorang hamba menghadap ALLAH SWT.
Bayangkan andai setiap Muslimat memakainya, tuan punya badan yang berwakaf tadi turut tempias menerima pahalanya.
Namun begitu, telekung wakaf juga mempunyai ‘tarikh luput’. Tiba masanya, kain sembahyang itu lusuh, reput atau rosak. Akhirnya ia tidak dapat digunakan lagi.
Untuk menyimpannya lagi seolah-olah tidak berguna. Malah, masjid pasti akan berhadapan dengan lambakan telekung wakaf rosak sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
Bolehkah telekung wakaf tersebut dijual?
Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, haram menjual atau memberikan telekung wakaf kepada orang lain jika ia masih boleh digunakan.
Ini kerana ‘ain (fizikal) dan manfaat harta masih kekal.
Ia sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-796: Hukum Menjual Harta Wakaf di Masjid yang rosak yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
"Hasil jualan pula jika membolehkannya untuk membeli telekung wakaf seumpamanya, maka perlu untuk berbuat demikian. Perbuatan tersebut lebih diutamakan.
"Jika nilainya tidak mencukupi, maka memadai dengan menggunakannya untuk sebarang kepentingan masjid,” katanya.