JOHOR BAHRU - Biarpun sudah 66 tahun berlalu, kenangan menentang komunis tidak pernah dilupakan daripada ingatan bekas anggota 'special constabel', Awang Daud, 88.
Awang berkata, pengalaman ketika era darurat pada tahun 1957 itu ditempuh bersama rakan sepasukan di Kampung Kota Kecil, Kota Tinggi.
Katanya, ketika itu dia baharu berusia 22 tahun setelah menyertai unit berkenaan bersama sepupunya pada tahun 1955.
"Operasi penyamaran bagi menghentikan keganasan komunis di kampung berkenaan antara yang saya lakukan. Saya dan anggota lain menyamar menyapu sampah dan membersihkan kawasan longkang di kawasan kampung.
"Pada hari kelima penyamaran, sekitar jam 2 pagi, seorang ketua komunis memasuki kediaman penduduk, sebelum seorang anggota bertindak menembaknya, namun sempat melarikan diri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Johor, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar.
Dalam istiadat berkenaan, seramai 92 orang menerima PJPN yang terdiri daripada pesara polis, bekas polis, petugas era darurat, anggota masih berkhidmat serta balu atau waris mereka.
Sementara itu, Kamarul Zaman turut memberitahu, Kontinjen Johor telah menganugerahkan sebanyak PJPN kepada 3,381 penerima sejak 2018.