Harimau Malaya terus mendaki ranking FIFA

Iklan
Malaysia naik dua anak tangga dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA.

[DIKEMAS KINI] PASUKAN Harimau Malaya terus memperbaiki ranking untuk berada di kedudukan ke-134 dunia dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.

Ia menyaksikan skuad negara naik dua anak tangga daripada kedudukan ke-136 dunia sebelum ini dengan 1094.9 mata hasil kutipan 3.33 mata pada perlawanan persahabatan menentang Syria dan China baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan di Chengdu, China itu, skuad kendalian Kim Pan-gon tampil dengan aksi luar biasa untuk mengikat Syria 2-2 dan tuan rumah, China 1-1.

Di peringkat Asia, Jepun mendahului ranking dengan 1605.2 mata diikuti Iran (1561.26) dan Korea Selatan (1533.1), manakala Malaysia pula di kedudukan ke-24.

Iklan

Vietnam pula kekal pasukan terbaik di Asia Tenggara dengan 1243.14 mata diikuti Thailand (1181.21), Filipina (1099.29) dan Malaysia.

Selepas ini, skuad negara akan mengharungi saingan Pestabola Merdeka yang akan turut disertai India (99), Palestin (96) dan Tajikistan (110) pada Oktober.

Iklan

Sekiranya berjaya meraih keputusan positif, ia sudah tentu akan membantu skuad negara terus melonjakkan ranking dunia.

Kemas kini seterusnya untuk ranking FIFA akan dilakukan pada 26 Oktober.