Beras import dijual pada harga borong - Mat Sabu

Iklan
Mohamad Sabu - Foto Bernama

SHAH ALAM - Beras import dijual pada harga borong kepada peniaga antara langkah diambil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengurangkan beban pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peniaga juga hanya dibenarkan membeli sehingga 10 kampit beras putih tempatan di pasar raya besar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, catuan pembelian beras kepada peniaga itu sudah bermula sejak awal September lalu dan merupakan antara usaha pihak kementerian bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan.

"Pemborong sudah berbincang dengan pemilik restoran dengan campur tangan pihak kementerian supaya mereka beli beras import dengan harga borong supaya mereka kurang membeli beras putih tempatan.

Iklan

"Sebab beras putih tempatan ini kalau keadaan biasa seperti sekarang adalah mencukupi melainkan kalau restoran besar mengubah untuk membeli beras putih tempatan secara besar maka kekurangan akan berlaku," katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang memberi beras putih tempatan di Agrobazaar Kedai Rakyat milik usahawan FAMA di Jalan Kebun Tambahan, Seksyen 30.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau bekalan beras putih tempatan di Agrobazaar Kedai Rakyat milik usahawan FAMA di Jalan Kebun Tambahan, Seksyen 30 di sini pada Khamis.

Iklan

Tambah Mohamad, kementerian juga sudah merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan, namun krisis beras bukan hanya berlaku di Malaysia.

"Di Indonesia sendiri Presidennya, Jokowi membuat ucapan khas kepada rakyat Indonesia soal masalah kenaikan harga beras di Indonesia, ini adalah fenomena dunia.

"Dalam jangka pendek ini kita cuba intervensi dan beri bekalan yang cukup kepada rakyat dan jangka panjangnya kita semua pihak kena terlibat untuk usaha mencukupkan beras dalam negara," katanya.

Mohamad berkata, projek RM3 bilion di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk menjadikan hasil padi lima musim dalam dua tahun juga sedang diusahakan di Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak serta kawasan sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran padi.