SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan keperluan beras putih tempatan di Selangor mencukupi sehingga penghujung September ini.
Menurut Amirudin, kapasiti pengeluaran beras di negeri itu adalah 138,903.13 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman padi sebanyak 18,061.53 hektar melibatkan 6,871 pesawah.
"Ini bersamaan dengan pengeluaran 4.19 tan metrik bagi setiap hektar. Sehubungan itu, keperluan beras putih tempatan di Selangor adalah sebanyak 45,500 tan metrik sebulan.
"Mengikut keperluan bulanan ini, stok beras putih tempatan di Selangor adalah mencukupi sehingga penghujung September 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, bekalan beras putih tempatan akan mula stabil bermula Oktober dengan pengeluaran semula padi di utara Semenanjung Malaysia serta negeri Selangor yang mula dituai.
"Tambahan kepada langkah kawalan harga siling penjualan beras putih tempatan oleh pihak Persekutuan, kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan penjualan beras lima kilogram dengan harga RM13 bagi manfaat rakyat negeri Selangor.
"Jualan ini akan dilaksanakan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) di empat outlet PKPS serta tiga lokasi jualan bergerak pada setiap hari sehingga Disember ini," katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) bagi perkara berkaitan berhubung kekurangan stok di kedai dan pasaran.
"Kerajaan negeri melalui KSPDS komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan," katanya.
Rakyat Selangor boleh menghubungi KSPDS di talian 03-32898419 atau 017-2230771 untuk bercakap secara terus atau melalui aplikasi WhatsApp.