SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengambil pendekatan tegas mendisiplinkan sikap pemandu lori kurang berhemah susulan kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Putrajaya pada Rabu.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, negara sudah mempunyai undang-undang sesuai untuk menghukum pesalah, namun penambahbaikan perlu dititikberatkan supaya mereka tidak terlepas dengan mudah apabila melakukan kesalahan yang meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
"Kerajaan dinasihatkan agar lebih serius dengan isu keselamatan jalan raya khususnya apabila melibatkan kematian dan kecederaan parah selain mengkaji disiplin serta sikap pemandu lori yang kurang berhemah.
"Sudah tiba masanya kerajaan benar-benar menguatkuasakan langkah pencegahan drastik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang lebih dahsyat di negara kita.
"Kita sudah ada undang-undang yang sesuai untuk hukum pesalah jalan raya, jadi jangan biarkan mereka terlepas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau mengulas kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa muatan konkrit yang dipercayai mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh 14 kenderaan termasuk motosikal pengiring polis pada jam 10.14 pagi di Kilometer 5.7, Jalan Persiaran Utara, Putrajaya.
Lam Thye yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia menerangkan, kes itu perlu dikaji secara terperinci dengan mengetahui punca treler terbabit hilang kawalan sehingga berlaku pelanggaran dengan kenderaan lain.
Tegasnya, terdapat tiga persoalan wajar diberi perhatian dalam siasatan pihak berkuasa sama ada treler itu membawa lebih muatan daripada had sebenar, memandu dengan laju hingga sukar dikawal dan sikap pemandu yang tidak peka akan keadaan sekelilingnya.
"Ia akan membuktikan bahawa pemandu itu kelihatan gagal mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kemalangan yang serius.
"Kenderaan berat yang kerap memandu laju di jalan raya perlu dinilai sistem brek mereka kerana seperti mana yang dilihat dalam video tular ini, brek adalah antara sebab kemalangan ini terjadi,” ujar beliau.