RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila unit negara maju meningkat susulan kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.
Penganalisis berkata, prestasi ringgit adalah seiring dengan kebanyakan mata wang Asia yang merosot pada Khamis selepas Fed mengekalkan kadar faedah untuk sementara, namun menegaskan akan kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS daripada 4.6840/6880 sewaktu ditutup pada Rabu.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, potensi peningkatan kadar faedah AS pada November banyak bergantung kepada data, manakala kadar faedah AS yang dikekalkan pada Rabu adalah langkah"menghentikan seketika kenaikan kadar faedah.”
"Inilah sebabnya dolar lebih kukuh hari ini. Tindakan itu mungkin mengekalkan bidaan dolar sehingga Oktober. Sehingga kitaran dolar yang kukuh ini berakhir, ringgit akan kekal lemah,” katanya kepada Bernama.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan Fed malam tadi jelas menunjukkan hasratnya untuk mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama.
"Fed juga telah menyemak semula unjuran kadar dana Fed bagi 2024, lebih tinggi berbanding ramalan 4.6 peratus pada Jun kepada 5.1 peratus. Oleh itu, ini akan mengekalkan dolar AS berikutan perbezaan kadar faedah yang memihak kepada unit negara maju,” katanya.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1650/1686 berbanding 3.1653/1682 sewaktu ditutup pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.9947/5.000 daripada 5.0114/0157 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7632/7694 daripada 5.7955/8005 semalam.
Pada masa sama, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4271/4310 daripada 3.4348/4382 pada Rabu dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9695/9880 daripada 12.9891/13.0056 sebelumnya.
Ringgit menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 304.9/305.4 daripada 304.5/304.9 sewaktu ditutup pada Rabu dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.24/8.26 semalam. - Bernama