KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu jelas sekiranya berhasrat untuk memperkenalkan sesuatu dasar ekonomi bagi mengelak sebarang kesan negatif kepada negara.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, ini kerana kedudukan ekonomi negara diimbangi dengan dua dasar iaitu fiskal dan monetari yang mempunyai fungsi dan peranan berbeza.
Mengambil contoh langkah kerajaan untuk meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), Firdaos berkata, keputusan itu perlu jelas sama ada ingin dilaksanakan kembali atau sebaliknya.
"Kerajaan kalau hendak buat sesuatu dasar perlu sangat jelas (dengan dasar baharu). Sebagai contoh hendak kaji semula GST dan sistem saraan baharu sektor awam. Tidak boleh cakap akan diteliti dan sebagainya kerana dasar monetari dan fiskal ini sangat berbeza.
"Dasar fiskal tidak boleh ada elemen kejutan kerana kesannya sangat besar kepada penawaran sesuatu ekonomi. Jadi sebarang aspek kejutan perlu dielak untuk mengelak wujudkan persekitaran yang tidak baik kepada ekonomi. Maksudnya di sini kena ada unsur kebolehjangkaan.
"Berbeza pula dengan dasar monetari yang kena ada elemen terkejut. Sebagai contoh kalau Bank Negara (BNM) umum akan buat mesyuarat pada hari tertentu untuk umum mengenai kadar dasar semalaman (OPR), pastinya orang ramai akan ambil tindakan dengan tidak membuat permohonan pinjaman dan ini memberi kesan kepada pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas selesai Forum Memperkukuh Ketahanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Terhadap Krisis dan Kejutan Masa Depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.
Forum tersebut diadakan sempena SME Bank Excess 2023 yang turut menampilkan dua panel lain iaitu Ketua Penyelidik Ekonomi SME Bank, Lynette Lee dan Pengarah merangkap Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment, Imran Yassin Md Yusof, manakala Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohamad Hardee Ibrahim sebagai moderator.
Sementara itu, Firdaos ketika berucap pada forum berkenaan turut menyentuh mengenai isu kestabilan politik dan kesan kepada ekonomi negara.
Beliau secara peribadi berpandangan, bagi mewujudkan kestabilan dua asas penting kepada negara itu, Rancangan Malaysia dan pilihan raya umum (PRU) perlu dilakukan seiring.
Menurutnya, pentingnya rancangan lima tahun pembangunan kerajaan Malaysia itu diselarikan dengan PRU adalah untuk memberi keyakinan kepada pelabur.
"Apabila kerajaan yang baharu mendapat mandat dan membuat Rancangan Malaysia baharu, pelabur akan lihat ada perancangan untuk lima tahun akan datang.
"Ringkasnya di sini tempoh RMK dan PRU kena sama. Itulah maksud kestabilan politik kepada saya," katanya.