'Cadangan kaji semula keperluan PRK tidak wajar, elak pilih wakil rakyat kroni'

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM - Cadangan untuk mengkaji semula keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka atas faktor kematian penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak wajar dilakukan bagi menggelakkan pemilihan wakil rakyat daripada kroni.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia akan membuka ruang besar kepada pemimpin parti yang mempunyai kuasa penuh untuk menentukan pengganti jawatan itu manakala rakyat hilang hak untuk memilih.

Iklan
Iklan

"Ia lebih mudah menjadi situasi seperti Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, yang mana seorang presiden parti menaikkan atau mencalonkan isteri, anak dan kroninya.

"Tanpa PRK, individu terbabit boleh memaksa wakil rakyat yang menang daripada partinya untuk melepaskan jawatan. Kemudian menggantikan dengan sesiapa sahaja, adakah rakyat bersetuju dengan nepotisme sebegitu?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Media pada Isnin melaporkan Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menyatakan sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula keperluan mengadakan PRK.

Beliau turut mencadangkan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan mewujudkan satu peruntukan khas bagi membantu kerajaan untuk menjimatkan wang negara daripada terpaksa membelanjakan antara RM4 juta ke RM6 juta bagi setiap PRK.

Iklan

Susulan itu, menurut Wan Saiful, bagi memperbaiki sistem demokrasi Malaysia, reformasi secara holistik perlu dilakukan.

Ujarnya, semua pihak harus mengenalpasti langkah terbaik bagi mengatasi isu berkenaan bukan hanya semata-mata bagi menjimatkan wang tetapi menitikberatkan hak bersuara rakyat terlebih dahulu.

"Saya lebih suka jika kita memperkasa pengundi dan rakyat, bukan membenarkan beberapa orang pemimpin parti sahaja yang membolot kuasa.

"Apa sebenarnya yang mahu ditangani melalui cadangan (pindaan) ini, adakah kita tidak suka demokrasi pilihan raya atau mahu menjimatkan kos? Kenal pasti isu sebenar, dan tanganinya,” jelasnya.