13 'pilot darat' positif dadah ditahan

Iklan
Anggota polis memeriksa lori ketika Op Perdagangan yang dilaksanakan pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Seramai 13 pemandu lori atau 'pilot darat' ditahan dalam Op Perdagangan dalam operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini, pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi yang dijalankan bermula pada tengah malam sehingga jam 8 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Iklan
Iklan

Katanya, polis turut menahan dua pemandu lori yang merupakan orang dikehendaki mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua suspek lelaki yang ditahan itu berumur 22 hingga 48 tahun. Suspek yang positif dadah ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

"Dalam operasi itu, sebanyak 210 saman trafik (Pol.257) dikeluarkan membabitkan pemeriksaan sebanyak 730 kenderaan perdagangan," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis malam.

"Operasi membabitkan kenderaan perdagangan ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan konsep 'total enforcement' oleh JSPT bersama jabatan dan agensi penguatkuasa lain.

Op Perdagangan dilaksanakan di peringkat negeri bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang.

Iklan

"Fokus utama operasi ini adalah untuk menyelesaikan aduan awam yang tular di media sosial berkaitan kenderaan perdagangan.

"Tiada istilah pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang kerana ia dicipta untuk dipatuhi dan bukan untuk dicabuli oleh sesetengah pihak yang rakus serta tamak," katanya.