Sazali tenang tempuh tempoh gantung lapan tahun

Iklan
Sazali ketika dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2014.

"SEPANJANG tempoh lapan tahun menjalani hukuman penggantungan, saya tenang meneruskan kehidupan seharian bersama-sama ahli keluarga, tiada apa yang saya kesali ketika menghadapi ujian ALLAH ini.”

Itu reaksi bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad menjelang hari 'pembebasannya' esok apabila hukuman penggantungan lapan tahun yang dikenakan ke atasnya secara rasmi berakhir pada Sabtu, 23 September 2023.

Iklan
Iklan

Tanpa mahu berpaling lagi ke belakang, Sazali berkata, dia kini mahu meneruskan kehidupan hariannya seperti biasa, sama dengan apa yang telah ditempuhinya sejak lapan tahun lalu sebaik dikenakan hukuman penggantungan tersebut.

"Apa yang dilalui sepanjang lapan tahun ini, saya anggap ia satu sejarah. Sama ada pahit mahupun manis, saya telah tempuhi tempoh lapan tahun ini dengan pelbagai cerita suka dan duka, apapun saya tetap tenang.

Iklan

"Pejam celik, pejam celik tak sangka akhirnya hari itu (tempoh penggantungan tamat) akan tiba esok (Jumaat). Alhamdulillah pada hari kebesaran hari Jumaat, tempoh penggantungan saya tamat.

"Sudah tentu dalam tempoh penggantungan, isteri saya (Hashrine Hashim), anak-anak, ahli keluarga dan sahabat lain banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya terus cekal menghadapi ujian ALLAH ini,” jelasnya.

Iklan

'Sejarah hitam' mula menimpa Sazali apabila Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib & Anti-Doping) Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) membuat keputusan menggantungnya selama empat tahun mulai 22 September 2015 hingga 22 September 2019 selepas dia gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September 2015.

Lebih memburukkan situasi apabila Sazali yang sebelum itu telah membuat rayuan kepada MBBF dikenakan hukuman tambahan penggantungan empat tahun lagi gara-gara tindakannya menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai pada penghujung Mei 2018.

Merujuk Perkara 10.12.1 Kod Anti-Doping Dunia, Sazali yang ketika itu masih menjalani hukuman penggantungan empat tahun (22 September 2015 hingga 22 September 2019) gara-gara positif bahan larangan jenis Anabolic Steroid, tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan oleh Kod Penandatangan (Code Signatory).

Ketika ditanya sama ada masih berminat untuk kembali membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa sebaik tempoh penggantungannya berakhir, Sazali berkata;"Cukup-cukuplah apa yang saya sudah capai sebelum ini.

"Rasanya semua saya dah dapat termasuk memenangi gelaran Olahragawan Kebangsaan selain Mr Universe dan Mr Asia. Sampai masanya anak saya (Muhammad Hazim) meneruskan legasi yang saya tinggalkan,” jelas Sazali.

Untuk rekod, Sazali berjaya memenangi gelaran Mr Universe (juara dunia) pada edisi 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2014 sepanjang kariernya bergelar atlet bina badan negara.

Malah, Sazali yang pernah menyambar gelaran Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali (2006, 2010, 2013 dan 2014) turut merekodkan kejayaan cemerlang dengan memenangi sembilan gelaran Mr Asia - 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.