MELAKA - Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan keputusan untuk petisyen pilihan raya Parlimen Jasin dijadual pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Muniandy Vestanathan, yang mewakili calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata perbicaraan bagi petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya di sini, tamat semalam.
Iklan
Iklan
"Seramai 44 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Sekarang hanya tunggu untuk penyerahan dan keputusan,” katanya.
Pada 6 Mac lepas Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen, sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac lepas.
Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya responden ketiga. - Bernama