JURGEN Klopp menjadi pengendali pertama Liverpool memenangi 50 perlawanan di peringkat Eropah selepas menewaskan LASK dalam aksi Liga Europa pada awal pagi Jumaat.
Klopp merombak keseluruhan pasukannya bagi aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Europa di gelanggang lawan itu dan terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1.
Kemenangan itu memastikan Klopp mengatasi rekod kemenangan Eropah yang sebelum ini turut dipegang oleh Rafa Benitez yang memenangi 49 perlawanan antara 2004 sehingga 2010.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga teratas Kumpulan E yang turut disertai Union Saint-Gilloise dan Toulouse yang mencatat keputusan seri.
"Biar saya katakan seperti ini, jika saya masih memegang rekod 50 selepas peringkat kumpulan dan saya masih mendapat kemenangan terbanyak di Eropah sebagai pengurus Liverpool maka semua orang akan membencinya
"Ia bagus. Kami telah bermain banyak perlawanan di Eropah, tetapi bagus kami memenangi banyak perlawanan dan kami kerap layak ke pusingan akhir.
"Ia hebat, tetapi mungkin kerana kejohanan mempunyai lebih banyak perlawanan berbanding sebelum ini," katanya.
Bob Paisley, yang memenangi tiga Piala Eropah bersama Liverpool memenangi 39 daripada 61 perlawanan di peringkat Eropah.
Legenda Liverpool, Bill Shankly pula memenangi 34 daripada 65 perlawanan dan membawa kelab itu memenangi trofi Eropah pertama iaitu Piala UEFA pada 1973.
Perlawanan pada awal pagi tadi adalah aksi ke-82 Klopp bagi perlawanan Eropah di peringkat kelab.