Ipoh ‘syurga’ peminat hidangan Cina halal

Iklan
Ceylyn memperlihatkan antara produk makanan Cina halal keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.

Destinasi utama pelancongan makanan Perak

Ceylyn memperlihatkan antara produk makanan Cina halal keluaran syarikatnya yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


IPOH - Dikenali sebagai 'syurga' makanan Cina, Ipoh telah menjadi salah satu destinasi pelancongan makanan utama di negara ini yang menawarkan pelbagai variasi menu yang pastinya memenuhi cita rasa para pengunjung bandar raya itu.

Menariknya, menu seperti dim sum, pau, mantou, ayam garam dan sebagainya itu boleh dinikmati oleh orang Islam tanpa rasa was-was kerana penyediaan hidangan tersebut mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Seorang pengusaha restoran, Ahmad Khusaini Mohamed Hashim, 54, menu hidangan Cina di Ipoh mempunyai keunikan tersendiri berbanding di tempat-tempat lain kerana pilihan makanan halal semakin banyak serta mudah didapati.

Dia yang menjadi antara pelopor terawal hidangan ayam garam halal itu mengakui bahawa sebelum ini tidak banyak menu masakan Cina halal yang boleh memenuhi permintaan para pelancong Muslim yang berkunjung ke Ipoh.

"Jadi, saya memulakan perniagaan makanan Cina halal supaya dapat memudahkan orang Islam menikmatinya. Ayam garam adalah hidangan popular di Ipoh yang mana sebelum ini sukar didapati kerana kebanyakan restoran menggunakan bahan tidak halal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ahmad Khusaini menunjukkan hidangan ayam garam halal yang popular di bandar raya Ipoh.


Ahmad Khusaini yang memiliki Restoran Chef Uni@Brewster di pusat bandar raya Ipoh menambah, dia menganggap usahanya itu sebagai fardu kifayah kerana menghasil serta menyediakan makanan yang halal, baik dan elok kepada pelanggan.

"Ramai pengusaha restoran makanan Ipoh turut mempunyai sijil halal dan ini dapat membantu kerajaan negeri Perak mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini khususnya di Ipoh. Tambahan pula, tahun depan ada Tahun Melawat Perak 2024,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Team Some Sdn Bhd, Ceylyn Tay berkata, pihaknya mengakui potensi besar dalam sektor makanan halal bukan sahaja di negeri Perak, tetapi juga di peringkat global.

Kata Ceylyn, syarikatnya itu telah berusaha serta berjaya memperoleh pensijilan halal bagi produk dim sum pada tahun 2018 seterusnya memperluaskannya kepada 100 produk antaranya mantou, pau, ladu dan sebagainya.

"Produk-produk yang kami (syarikat) hasilkan juga begitu unik dengan menggabungkan identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum seperti pau pandan, dim sum sambal, dim sum kari dan sebagainya,” katanya yang mana kesemua produk tersebut dihasilkan di kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, di sini.

Hidangan dim sum halal antara menu utama yang sentiasa mendapat permintaan pengunjung restoran di bandar raya Ipoh.


Tambah Ceylyn, kesemua produk yang dihasilkan pihaknya di jual di rangkaian kedai Canning Dim Sum dan Jom Dim Sum yang dimilikinya.

Malah, dia turut merancang untuk membuka kedai konsep di kilang berkenaan sempena Tahun Melawat Perak 2024 untuk memberikan pengalaman kepada para pelancong melihat secara dekat penghasilan produk makanan Cina halal yang banyak menggunakan bahan tempatan.

"Dengan pendekatan itu, saya yakin ia dapat membantu meningkatkan lagi industri makanan halal di Perak dan meningkatkan lagi sektor pelancongan negeri ini,” katanya yang turut memahami hasrat kerajaan negeri melaksanakan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi fokus kepada keseimbangan ekonomi, sosial serta alam sekitar dengan menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat 2027 di bawah program flagship ke-15.