"TAKUT ALLAH atau gusar hilang rezeki?"
Demikian antara persoalan yang bermain dalam fikiran apabila melihat orang lain berkongsikan amalan yang menjadi punca limpahan kekayaan mereka, selain daripada usaha keras dan disiplin diri.
Bukan apa, ada dalam kalangan 'individu berjaya' dilihat terlalu ekstrem bersedekah, membaca doa dan melakukan amal kebaikan lain melebihi ibadah wajib dalam syarak. Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa semua amalan berkenaan 'wajib' dilakukan untuk mengecap kemewahan dan kejayaan.
Walaupun ada benarnya tip diberikan, namun tanda tanya tentang 'takut ALLAH atau bimbang hilang rezeki' sukar untuk dinyahkan begitu sahaja.
Adakah 'orang berjaya' tersebut melakukan semua amalan berkenaan kerana risau hilang punca pendapatan? Bukankah kita sepatutnya takut dengan ALLAH SWT?
Jangan ‘berjabat’ dengan amal
Sinar Islam Plus mendapatkan Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra Mohd Yusof bagi mengupas lanjut mengenainya.
Memperbetulkan persepsi tentang amalan sedekah lazim dilakukan kebanyakan ahli perniagaan, pendakwah dan usahawan itu menjelaskan, ia bukanlah tanggungjawab bagi orang berniaga.
Bahkan, ia tidak ‘automatik’ wajib ke atas pemilik perniagaan.
Sebaliknya, jelas beliau, amalan itu merupakan amanah bagi semua orang yang mampu berbuat demikian tanpa mengira sesiapa pun.
"Malulah dengan sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Mirsad RA yang sangat miskin. Namun, ketika disebut tentang sedekah, beliau yang hanya ada sedikit bawang, berbekalkan itulah beliau menginfakkannya.
Tidak dinafikan, terdapat segelintir ahli perniagaan turut melazimkan beberapa amalan seperti doa, baca al-Quran dan bersedekah yang melebihi ibadah diwajibkan dalam syarak, di samping berusaha keras dan berdisiplin untuk berjaya.
Timbul persoalan, andai seseorang itu tidak berniaga, adakah mereka akan istiqamah melakukan amal ibadah? Adakah kebajikan yang dibuat sekadar untuk ‘memanggil’ rezeki, bukannya kerana patuh dan berharap kepada ALLAH?
Ketika ditanya persoalan itu, Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra yang terkenal dengan jolokan ‘ustaz saham’ mempunyai perspektifnya tersendiri.
Jelas beliau, kita tiada kuasa untuk menghukum sesiapa kerana ia mutlak hak ALLAH SWT.
"Inilah yang disebut sebagai ‘berjabat’ dengan amal. Sebagai contoh, bersedekah akan jadi kaya dan dengan mendirikan solat duha akan dimurahkan rezeki."Sedangkan hakikatnya, yang memberi bekas hanyalah ALLAH SWT,” ungkapnya.
Usah lupa diri bila di puncak kemewahan
Dari satu sudut, memang tiada yang salah apabila melihat usahawan memberi bantuan spontan kepada golongan kurang berkemampuan, cuma kelihatan canggung apabila ada segelintir individu menjadikannya sebagai modal untuk meraih tontonan yang tinggi.
Meskipun demikian, Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra mengingatkan agar kita berwaspada kerana dikhuatiri wujud penyakit halus lantaran pandangan dan pujian orang ramai. Dibimbangi ia akan menenggelamkan sifat ikhlas dalam diri.
"Apabila melihat orang buat kebaikan, niatkan dalam hati untuk kita juga berbuat demikian. Soal sama ada perlu dizahirkan atau dirahsiakan itu adalah pilihan peribadi kerana kedua-duanya ada kebaikan,” katanya.
Ia sebagaimana dijelaskan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Kalau kamu zahirkan sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan ALLAH akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA MENGETAHUI secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra Mohd Yusof turut menitipkan pesanan agar para pedagang dan usahawan tidak mudah lupa diri andai sudah berjaya dan menikmati kekayaan hasil perniagaan mahupun kerahan tenaga masing-masing.
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Usahawan Islam Moden 2023 dalam Anugerah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) berulang kali mengingatkan agar menghindarkan diri daripada penyakit ujub dan riak.
Hindarilah diri daripada penyakit yang merasakan kita pandai dan hebat, tegasnya.
"Apa yang kita peroleh pada hari ini, ALLAH boleh hilangkan sekelip mata. Maka, saat dikurniakan kesenangan dan kemewahan, bersyukurlah sebaiknya dengan semakin mendekatkan diri kepada-NYA.
"Ingatlah, maksiat pertama yang berlaku dalam alam ini adalah apabila merasakan diri sendiri lebih daripada orang lain. Ia sebagaimana yang berlaku kepada iblis laknatullah ketika diperintahkan ALLAH SWT untuk sujud sebagai tanda hormat kepada Nabi Adam AS, sepertimana disebutkan dalam ayat 34, Surah al-Baqarah.
"Begitu juga halnya yang berlaku terhadap Qarun yang mana dalam ayat 78, Surah al-Qasas. Qarun secara jelas mengatakan bahawa harta yang diberi kepadanya kerana ilmu yang ada pada dirinya,” terangnya panjang lebar.
Sebelum menoktahkan bicaranya, Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra mengingatkan, apa jua pekerjaan yang dilakukan, sentiasalah merendah diri untuk terus belajar daripada orang berpengalaman.
"Istiqamah dalam melakukan apa jua perkara yang diinginkan.
"Hidup ini bukan perlumbaan, tetapi ia adalah perjuangan. Percayalah kepada proses dan progres,” titipnya.