PASUKAN lelaki Malaysia telah bermain dalam kesemua 16 edisi sejak hoki membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada 1958 di Tokyo, namun pingat emas yang diidam sentiasa terlepas daripada genggaman.
Apabila Speedy Tigers masuk ke gelanggang menentang Thailand dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sports Park di sini pada Ahad (24 September), penampilan ke-17 pasukan negara di Sukan Asia, dengan satu matlamat iaitu untuk merangkul emas sulung.
Pingat emas berkenaan, selain memberi penghormatan kepada juara kejohanan empat tahun sekali itu, juga akan membantu pasukan negara muncul kembali di Sukan Olimpik setelah lebih dua dekad tidak menyertainya, kerana pemenang Sukan Asia akan mendapat slot secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Kali terakhir Speedy Tigers beraksi di gelanggang Olimpik ialah pada edisi Sydney 2000.
Ketua jurulatih A. Arulselvaraj, yang penunjuk prestasi utamanya antara lain untuk membawa kembali pasukan ke Sukan Olimpik, mahu tugasnya difokuskan ke arah misi itu, kerana saat yang paling ditunggu sejak mengambil alih pasukan pada pertengahan 2020 kini tiba.
"Saya memberitahu pemain supaya bermimpi, walaupun sebelum kami memulakan latihan hari ini. Saya mahu mereka menikmati stadium, berjalan-jalan, ia adalah stadium yang cantik. Kami mahu mencipta sejarah dan suka melakukan sesuatu untuk hoki Malaysia dan untuk diri kami sendiri.
"Bagi saya, sudah tentu itulah sebabnya saya pulang (dari Ireland), untuk cuba meletakkan Malaysia kembali ke Sukan Olimpik, ia adalah satu tahap yang indah jika kita dapat memenuhinya. Penangguhan Sukan Asia (selama setahun disebabkan COVID-19), memberi manfaat kepada kami. Saya melihatnya sebagai campur tangan Tuhan untuk membolehkan kita menjadi lebih kuat.
"Kerana dari segi fizikal pemain lebih kuat, perkasa dan mereka telah banyak berkembang sebagai individu. Malah dalam latihan saya dapat lihat, mereka bersemangat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini selepas latihan rasmi pertama pasukan di venue di sini setelah tiba di Games Village malam tadi.
Arulselvaraj berkata, Speedy Tigers yang pada kedudukan ke-10 dunia akan berusaha untuk memperhalusi beberapa aspek penting, termasuk pukulan sudut penalti menjelang perlawanan pembukaan, diikuti perlawanan menentang Oman pada 26 September, Indonesia (28 September), Korea Selatan (30 September) dan tuan rumah China (2 Oktober).
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Asia adalah apabila muncul sebagai naib juara dalam edisi Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018, selain memenangi enam pingat gangsa, manakala Pakistan adalah pasukan paling berjaya dengan lapan pingat emas.
Speedy Tigers amat berharap untuk membawa pulang emas Sukan Asia, terutamanya selepas memenangi Piala Sultan Azlan Shah sulung mereka November lepas dan mara ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2011, sebelum ditewaskan oleh tuan rumah India 4 -3. - Bernama