87 sampel sayur, buah di Pasar Borong KL dianalisis - DBKL

Iklan
Sebanyak 87 sampel sayur dan buah diambil di Pasar Borong Kuala Lumpur untuk dianalisis. - Foto DBKL

KUALA LUMPUR - Sebanyak 87 sampel sayur dan buah dari Pasar Borong Kuala Lumpur dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dilaksanakan dalam Operasi Bersepadu Program Survelan dan Regulatori Keselamatan Hasil Pertanian di pasar borong tersebut pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, operasi itu dijalankan bagi memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dijual selamat dimakan serta bebas daripada pencemaran residu racun perosak.

Operasi juga bagi memastikan alat timbang dan sukat digunakan untuk tujuan perdagangan mematuhi dan mendapat kelulusan reka bentuk serta spesifikasi yang ditetapkan. - Foto DBKL

"Operasi juga bagi memastikan alat timbang dan sukat digunakan untuk tujuan perdagangan mematuhi dan mendapat kelulusan reka bentuk dan spesifikasi yang ditetapkan oleh Penyimpan Timbang dan Sukat.

Iklan

"Dalam masa sama, DBKL turut memberikan peringatan dan kesedaran kepada pemborong dalam mematuhi 3P (pelabelan, pengredan, pembungkusan)," kata DBKL di laman Facebooknya.

Turut terlibat dalam operasi itu ialah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan bersama agensi sahabat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.

Iklan

Dalam pada itu, DBKL turut mengeluarkan lapan kompaun larangan merokok di bawah Seksyen 47, UUK Pasar Borong (WPKL) 2002 dan satu kompaun di bawah UUK 3.

"Sementara enam lagi kompaun telah dikeluarkan oleh KPDN Kuala Lumpur di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972," katanya lagi.

DBKL menambah, operasi seperti itu akan diteruskan untuk memastikan tahap keselamatan hasil pertanian dijual kepada pembeli dalam keadaan yang terbaik dan memastikan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) dipatuhi pemborong serta peruncit keluaran pertanian khususnya di Pasar Borong Kuala Lumpur.