IPOH - Kira-kira 1,300 penduduk di Taman Meru Perdana 2 dan Taman Chepor Idaman, di sini berdepan bahaya apabila Jalan Meru Raya-Klebang yang baharu dibuka didakwa tidak dilengkapi dengan kemudahan keselamatan sempurna.
Pengerusi Persatuan Penduduk Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata, sejak dibuka pada pertengahan Ogos lalu, jumlah kenderaan kian bertambah malah ada yang memandu laju disebabkan ketiadaan papan tanda amaran terutama berhampiran bulatan di jalan tersebut.
Menurutnya, keadaan itu amat merisaukan penduduk kerana mereka berdepan risiko kemalangan ketika masuk ke taman perumahan masing-masing.
"Apabila jalan ini dibuka, kita mula rasa tak selamat nak keluar bekerja, menghantar anak sekolah dan lain-lain urusan sebab jalan sibuk, kereta semakin banyak.
"Kita harap Datuk Bandar Ipoh, Ahli Majlis MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) dana pihak berkaitan beri perhatian masalah ini. Buat sesuatu seperti membina bonggol, meletakkan papan tanda amaran dan sebagainya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Taman Meru Perdana 2, di sini pada Khamis.
Mohd Nazri berkata, masalah tersebut telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis MBI dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri untuk perhatian lanjut serta tindakan segera pihak berwajib.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 Laluan 16 hingga 26, Razkhi Rayman berkata, penduduk menghargai usaha dilakukan pihak kerajaan negeri dan MBI membina jalan pintas untuk memudahkan penduduk.
Namun katanya, infrastruktur yang tidak lengkap memberi kesan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya lain.
Jelasnya, pihak berkaitan digesa mempertimbangkan pembinaan bonggol di laluan berkenaan bagi mengurangkan kelajuan kenderaan selain memudahkan penduduk keluar masuk taman perumahan masing-masing.
"Kebanyakan pengguna jalan ini daripada Klebang tidak memperlahankan kenderaan mereka apabila tiba berhampiran dengan bulatan tersebut, jadi penduduk yang nak masuk ke taman perlu berhati-hati," katanya.
Bagi Pengerusi Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu pula, penguat kuasa trafik juga diharap supaya membuat rondaan pada waktu malam kerana terdapat aktiviti seperti perlumbaan haram motosikal jalan berkenaan.
Katanya, terdapat penunggang motosikal yang membawa laju melalui jalan tersebut memandangkan tiada garisan kuning atau bonggol dibina di kawasan tersebut.
Jelasnya, pihak persatuan akan menghantar surat rasmi kepada pihak MBI dan jabatan berkaitan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Jalan Meru Raya-Klebang yang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dengan Lebuh Klebang Putra dibuka kepada pengguna pada 15 Ogos lalu dengan kos pembinaan RM7.2 juta.
Pembinaannya dilaksanakan secara kerjasama pintar antara MBI dengan beberapa pemaju antaranya Ain Bina Development Sdn Bhd, Eadepro Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.