PETALING JAYA - Seorang pemandu bas kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan merosakkan palang pintu pagar pusat perniagaan, bulan lalu.
K Vimal, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pintu pagar milik Zenith Corporate yang nilai kerugian sebanyak RM5,000, di Zenith Corporate Park, Kelana Jaya, di sini pada jam 11.15 pagi, 31 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Ghazali Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar itu dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga selain perlu menjaga ibu yang mempunyai penyakit jantung.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.