BERSEDEKAH, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, menunaikan solat duha, zikir, tahajud dan sebagainya sememangnya merupakan amalan yang baik.
Namun, andai amal ibadah dan kebaikan seperti itu dikerjakan hanya untuk melancarkan rezeki dan kekayaan semata-mata tanpa keikhlasan kerana ALLAH, maka seseorang itu hanya akan memperoleh tujuan duniawi sahaja.
Bukan itu sahaja, kelompok berkenaan juga boleh termasuk dalam golongan yang tercela.
Demikian peringatan diberikan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.
Ia bersesuaian dengan firman ALLAH SWT: "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)
Melihat nas berkenaan, kata ahli akademik itu, jelaslah bahawa ALLAH SWT memerintahkan umat Islam supaya melakukan amal ibadah ikhlas kerana-NYA.
"Amalan yang dilakukan untuk tujuan selain kerana ALLAH SWT (mengharapkan ganjaran tertentu) adalah tidak dibolehkan.
"Ini kerana ia menyimpang daripada tujuan sebenar beribadah, iaitu ikhlas untuk ALLAH. Ini selari dengan doa iftitah yang kita ulang baca dalam setiap waktu solat iaitu ‘Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Rugi di akhirat
Tambah menyedihkan lagi, jelas Ustazah Sharifah Fadylawaty, golongan tersebut juga akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi di akhirat!
Sebaliknya, hanya mereka yang beramal dengan ikhlas kerana ALLAH akan memperoleh pahala berlipat ganda, sebagaimana disebutkan dalam ayat 20, Surah asy-Syura.
"Dalam tafsir Ibn Kathir Rahimahullah ada menjelaskan bahawa terdapat beberapa kemungkinan iaitu sama ada diberikan ganjaran dunia sebagaimana yang diminta, tidak peroleh ganjaran di akhirat atau tidak memperoleh imbalan langsung di kedua-dua alam ini (jika ALLAH tidak mengizinkan).
"Justeru, sama ada golongan tersebut istiqamah (beramal) atau tidak, wallahu a’lam. Soal iman dan amal seseorang tidak boleh kita jangka. Hanya perlu bersangka baik dan mendoakan agar amal yang dilakukan adalah ikhlas kerana ALLAH SWT dan konsisten.
"Namun, suka saya kongsikan antara tanda-tanda menunjukkan bahawa seseorang beramal untuk dunia ialah mereka akan marah, tidak reda dan mempersoalkan jika tidak memperoleh ganjaran atau habuan yang diharapkan meskipun telah beramal ibadah,” terangnya panjang lebar.
Kepada satu soalan, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjawab:"Perlu difahami, ada banyak cabang rezeki yang ALLAH SWT janjikan kepada hamba-NYA. Yakinlah bahawa ALLAH telah menetapkan rezeki masing-masing.”
Beliau kemudian menyenaraikan lapan bentuk rezeki yang dinyatakan dalam al-Quran yang meliputi:
i. Rezeki yang telah dijamin (Surah Saba’, ayat 39).
ii. Rezeki kerana usaha atau kerja (Surah an-Najm, ayat 39).
iii. Rezeki kerana bersyukur (Surah Ibrahim, ayat 7).
iv. Rezeki yang tidak disangka-sangka (Surah at-Thalaq, ayat 2).
v. Rezeki kerana istighfar (Surah Nuh, ayat 10-11).
vi. Rezeki kerana bernikah (Surah an-Nur, ayat 32).
vii. Rezeki kerana anak (Surah al-Isra’, ayat 31).
viii. Rezeki kerana bersedekah (Surah al- Baqarah, ayat 245).
Pada masa sama, pensyarah itu turut mengingatkan agar kita dianjurkan untuk berusaha kerana ALLAH SWT menjanjikan pemberian rezeki yang bersesuaian dengan kadar usaha dilakukan.
Istidraj
Bagaimana pula dengan sikap segelintir individu yang dilihat bimbang hilang rezeki berbanding takutkan ALLAH SWT hinggakan ada yang beralasan perniagaan masih untung dan kekayaannya tidak pernah surut walaupun dirinya tidak solat?
Menjawab tanda tanya itu, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan bahawa situasi itu sebenarnya merujuk kepada kelompok yang diuji dengan istidraj oleh ALLAH SWT.
"Mengertilah, ALLAH SWT membiarkan mereka terleka dengan dunia dengan menundakan hukuman atau pembalasan atas maksiat dilakukan.
"Ini menjadikan seseorang itu semakin kufur dan jauh daripada ALLAH SWT,” ungkapnya.
Disebabkan itu, beliau menitipkan pesanan supaya kita sentiasa bermuhasabah diri, berdoa agar dihindari daripada godaan syaitan dan tipu daya istidraj serta istiqamah dengan amal soleh.
"Seperkara lagi, pastikan diri berada dalam lingkungan yang baik iaitu dari segi persekitaran dan insan di sekeliling dan bersyukur atas segala nikmat-NYA serta bertaubat.
"Pada masa sama, perbaiki diri, tinggalkan maksiat dan keburukan, selalu berdoa memohon perlindungan ALLAH SWT, mengingati kematian dan akhirat serta mempersiapkan bekal untuk kehidupan selepas mati,” titipnya sambil mengingatkan agar umat Islam sentiasa mencari ilmu dan menambah saham akhirat.
ANEKDOT
Syarat memperoleh keberkatan rezeki
- Niat kerja sebagai ibadah.
- Menjaga halal dan haram.
- Menyempurnakan zakat.
- Memberikan nafkah kepada tanggungan.
- Melakukan pekerjaan dengan baik.
- Amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa serta harta.
- Mengelakkan daripada melakukan pekerjaan yang syubhah (ragu-ragu) dan haram.
- Tidak meninggalkan ibadah wajib semasa bekerja.
Tip undang keberkatan rezeki
- Melazimi takwa.
- Menjaga solat.
- Beristighfar.
- Bersedekah.
- Amalan bangun awal pagi.
- Banyakkan bersyukur.
- Menjaga hubungan dengan ALLAH (hablum minallah) dan hubungan sesama manusia (hablum minannas).
- Kurangkan mengeluh.
8 tanda keberkatan rezeki
- Rasa sentiasa cukup dan syukur.
- Keluarga stabil dan bahagia.
- Mudah solat dan beribadah.
- Disenangi ramai.
- Anak-anak soleh.
- Doa senang termakbul.
- Sering diziarahi tetamu.
- Pemurah dan suka berkongsi rezeki.