BALING - Berlaku kenaikan paras air di lokasi tragedi kepala air Kampung Iboi seperti yang berlaku Julai tahun lalu, namun tiada sebarang pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hanya beberapa rumah dinaiki air di Mukim Kupang tetapi keadaan masih terkawal berikutan paras air kembali surut.
"Ada kenaikan air di Sungai Kupang pada Khamis melibatkan Lata Celak sehingga ke Kampung Padang Empang dan Kampung Hangus. Alhamdulillah air yang lalu walaupun deras tetapi tidak melepasi tebing," katanya ketika melakukan pemantauan di beberapa lokasi terjejas di Mukim Tawar, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, pasukan keselamatan sentiasa memantau situasi terkini keadaan di tempat terjejas antaranya Kuala Kedua, Iboi, Tawar dan Binjul Luar yang masih terjejas.
Sementara itu, penduduk Kampung Iboi, Mahmud Mat Rejab, 78, berkata, kejadian ikan tengas naik darat pada Rabu dipercayai petanda awal kampung tersebut bakal dilanda banjir sekali lagi.
Menurutnya, kedudukan rumah yang tidak jauh dari Sungai Bok Bak dan Sungai Iboi menyebabkannya dinaiki air sekali lagi kira-kira jam 6.30 petang Khamis.
Bercerita lanjut, Mahmud menjelaskan, dia hanya sempat berpaut pada sebatang pokok dan memikirkan nasib isteri, Halipah Ahmad, 73, yang hampir lemas ketika itu.
Sementara itu, kejadian pada Khamis turut memberi kesan trauma kepada Rahmah Din, 58, apabila tebing pasir Sungai Kupang berhampiran rumahnya di Lata Celak terhakis.
"Kejadian semalam membuatkan saya jadi trauma semula, memang menakutkan lihat tebing sungai ini terhakis, saya dan anak-anak hanya ada rumah ini.
"Hendak menyewa rumah lain saya tidak mampu, makan minum saya kini ditanggung anak-anak, saya harap kerajaan dapat melakukan sesuatu agar dapat mengelak kejadian sama berulang," katanya yang kehilangan suami lima tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain, berkata pemasangan sistem amaran awal bencana di kaki Gunung Inas yang berjarak kira-kira 15 kilometer dari perkampungan penduduk juga perlu disegerakan berikutan kebanyakan mangsa masih trauma dengan kejadian 4 Julai 2022.
"Kejadian kepala air bukan saja memberi kesan kepada kemusnahan harta benda, namun ia turut memberi kesan kepada emosi penduduk yang ketakutan setiap kali hujan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tragedi kepala air Kampung Iboi, Mukim Kupang, telah mengorbankan tiga beranak yang dibawa arus deras hanyut bersama rumah mereka.
Kejadian turut menyebabkan ribuan mangsa terjejas akibat rumah rosak ditenggelami air.