Pejabat Presiden Indonesia di Nusantara siap 38 peratus

Iklan
Jokowi. - Foto AFP

JAKARTA - Pembinaan pejabat presiden Indonesia di ibu negara baharunya, Nusantara di Pulau Borneo, kini siap 38 peratus, kata Presiden Joko Widodo.

Presiden itu melawat tapak pembinaan bangunan itu hari ini yang memaparkan reka bentuk burung Garuda dengan sayap melebar, di Kabupaten Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.

Iklan
Iklan

Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, naik ke tingkat atas bangunan itu dan secara simbolik meletakkan struktur modul pertama Garuda yang berperanan sebagai simbol bangunan itu.

Menurut Jokowi, pelbagai projek infrastruktur di ibu negara baharu itu berjalan lancar seperti yang dirancang, termasuk pejabat presiden, istana presiden, dan bangunan kementerian, yang kesemuanya berjalan mengikut jadual.

Iklan

Pegawai Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat Diana Kusumastuti berkata kementerian itu mensasarkan pemasangan 4,650 bilah Garuda selesai menjelang Mac 2024.

"Bangunan itu terdiri daripada 465 modul, dengan setiap satu mengandungi 10 bilah, yang akan dipasang bermula hari ini. Apabila siap, bangunan itu akan mempunyai lebar sayap 177 meter dan ketinggian 77 meter,” katanya.

Iklan

Indonesia memindahkan Ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan Timur di Pulau Borneo untuk mengurangkan masalah lalu lintas dan alam sekitar di Jakarta.

Langkah ini juga melambangkan peralihan dalam memusatkan kerajaan dan mengurangkan tumpuannya di Pulau Jawa. - Bernama