Sedia 1,700 tan metrik ikan tampung permintaan musim tengkujuh

Iklan
Muhammad Faiz (tengah) bersama nelayan yang menerima bantuan alatan menangkap ikan sempena program Rahmah Mesra Madani di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman pada Jumaat.

KEMAMAN - Sebanyak 1, 700 tan metrik stok ikan segar beku akan disediakan bagi menampung permintaan sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, bekalan sumber protein itu akan dijadikan stok penimbal untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan ikan sepanjang musim Monsun Timur Laut.

Iklan
Iklan

"Sepanjang musim tengkujuh nanti kebanyakan nelayan tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan kerana perubahan cuaca dan keadaan laut yang bergelora.

"Jadi, kita bersama pihak swasta telah membuat beberapa persediaan untuk berdepan dengan keadaan itu antaranya menyimpan stok bekalan ikan atau stok penimbal dalam peti sejuk beku bagi menampung permintaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Kuala Kemaman di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz berkata, ikan-ikan yang dijadikan stok penimbal dengan jenama Q'Fish itu telah melalui proses sejuk beku secara selamat bagi memastikan kualitinya terjamin.

Iklan

"Kita di LKIM telah sediakan tiga alatan bagi teknologi pembekuan pantas individu (IQF) supaya ikan yang dibekukan ini sentiasa segar.

"Jadi pengguna tidak perlu meragui kualiti ikan-ikan ini kerana ia telah melalui proses yang selamat," ujarnya

Terdahulu, seramai 50 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemaman menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan dengan peruntukan sebanyak RM52,300.

Penyerahan bantuan itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

Selain itu, bantuan tersebut juga bagi meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.