Santunan Kasih Perak tingkat kualiti warga emas

Iklan
Sebahagian peserta program yang menjalani kursus berkaitan penjagaan warga emas dalam usaha menyediakan perkhidmatan penjagaan profesional kepada warga emas di Perak.

IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW) sedang berusaha ke arah mewujudkan sebuah ekosistem penjagaan warga emas di negeri ini bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program yang dinamakan Santunan Kasih Perak itu diperkenalkan sebagai persediaan ke arah masyarakat menua menjelang tahun 2030 memandangkan Perak mempunyai populasi warga emas tertinggi di Malaysia.

Iklan
Iklan

Penyelaras Program Santunan Kasih Perak, Sarina Mohamed Mokhtar berkata, menerusi program tersebut, beberapa inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas, menggalakkan keterangkuman dan memastikan agar warga emas dapat meniti usia mereka dengan bermaruah.

"Objektif program ini adalah bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan profesional kepada warga emas, meningkatkan bekalan tenaga kerja mahir dalam industri ini dan seterusnya membuka sektor dalam ekonomi untuk golongan sasar dan yang berpendapatan rendah.

Iklan

"Santunan Kasih Perak bertindak sebagai sistem sokongan bagi mereka yang meminati penjagaan warga emas dan ingin menjadikannya sebagai kerjaya atau untuk menjadi usahawan di dalam industri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sarina berkata, kejayaan inisiatif penjagaan warga emas Perak merupakan usaha kolektif kerajaan negeri, organisasi, masyarakat, penyedia penjagaan kesihatan dan sukarelawan yang berdedikasi.

Iklan

Katanya, melalui program itu juga, Perak akan menjadi contoh inspirasi bagi wilayah lain yang ingin melaksanakan program penjagaan warga emas dan seumpamanya.

Jelasnya, apabila populasi negara semakin meningkat, model yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Perak dalam mewujudkan ekosistem untuk warga emas itu berfungsi sebagai mercu tanda harapan dan kemajuan.

Beliau berkata, komitmen negeri terhadap kesejahteraan penduduk warga tuanya menunjukkan nilai belas kasihan dan empati yang menjadi teras masyarakat yang berkembang maju.