PASIR SALAK - Setelah keluhan penduduk Kampung Gajah dekat sini disuarakan seminggu yang lalu berhubung ketiadaan ketua kampung, akhirnya pelantikan tersebut dilaksanakan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah pada Khamis.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, pihaknya sangat menghargai usaha kerajaan Perak yang telah melantik segera ketua kampung di Perak Tengah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah.
Menurutnya, dengan pelantikan itu, semua ketua kampung dan pentadbiran negeri diharap dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada soal pembangunan dan kebajikan masyarakat yang agak terbiar sejak masalah ketua kampung tidak diselesaikan pada tahun ini.
"Kelewatan ini telah memberikan imej yang kurang baik kepada persepsi masyarakat terhadap kredibiliti kerajaan perpaduan sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, pihaknya mahu ketua kampung yang diberikan amanah itu memainkan peranan untuk memimpin dan mengharmonikan masyarakat bagi memastikan daerah Perak Tengah Sejahtera dan harmoni.
Nordin berkata, pihak persatuan akan bekerjasama dengan ketua-ketua kampung dan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan pembangunan komuniti di daerah berkenaan.
Majlis penyerahan watikah pelantikan 43 ketua kampung di enam mukim itu telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah Kampung Gajah dekat sini.
Sinar Harian pada 15 September lalu melaporkan Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah menggesa kerajaan negeri memuktamadkan pelantikan ketua kampung yang tertangguh hampir setahun.
Mereka mendakwa kelewatan pelantikan lebih 50 ketua kampung di daerah kecil Kampung Gajah itu akan membantutkan pelan pembangunan dan kemajuan komuniti setempat.