Laporan tanah runtuh Batang Kali didedah selepas selesai nyah rahsia

Iklan
Amirudin (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara di sini pada Jumaat.

GOMBAK - Kerajaan negeri bakal nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali yang mengorbankan 31 mangsa dalam kejadian 16 Disember tahun lepas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses nyah rahsia itu bakal mengambil masa selewat-lewatnya tiga minggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan dokumen tersebut dipamerkan kepada umum.

"Kerajaan negeri tiada masalah untuk dedahkan laporan tersebut kepada orang awam namun dokumen itu masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Iklan

"Justeru, kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen itu daripada OSA untuk disiarkan. Perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara, di sini pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, mesyuarat Exco tersebut dijadualkan berlangsung dua minggu lagi dan tidak dapat diadakan minggu depan susulan beliau mempunyai urusan di luar negara.

Tambah beliau, dokumen tersebut akan disiar ke laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan berkaitan selepas proses nyah rahsia selesai bagi membolehkan orang awam yang berminat dengan kejadian itu mengakses laporan tersebut.

Mangsa yang terselamat dalam kejadian itu sebelum ini memohon kerajaan mendedahkan laporan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.

Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.