BAYAN LEPAS - Jabatan Perikanan Pulau Pinang menyita 1,385 unit bubu naga bernilai RM207,750 di sekitar perairan negeri ini sepanjang Januari hingga September tahun ini.
Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, jumlah itu termasuk 210 unit bubu naga bernilai RM31,500 yang dirampas pada minggu ketiga September di perairan Pulau Rimau dan jeti nelayan di Seberang Perai Selatan.
Katanya, sitaan itu dibuat mengikut Seksyen 11(3)(c) kerana menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah.
"Tindakan sitaan itu dibuat melalui siri pemeriksaan dan rondaan laut yang diadakan secara berterusan di perairan negeri ini.
"Kita memandang serius dengan tindakan pihak tertentu yang menggunakan bubu naga di perairan Pulau Pinang kerana ia menyebabkan kerugian sumber memandangkan bubu tersebut turut memerangkap anak-anak ikan dan kehidupan laut lain.
"Ketika rampasan bubu ini dibuat, kita mendapati anak-anak ikan yang bernilai tinggi seperti ikan jenahak, ikan merah terperangkap di dalamnya dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan kerugian kepada nelayan serta memusnahkan sumber, benih serta anak-anak ikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dijalankan memandangkan pihak yang memasang bubu naga terbabit membiarkan sebelum mengambilnya beberapa hari selepas itu.
"Jika didapati bersalah akan dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM 20,000 atau dua tahun penjara," katanya.
Dalam pada itu, Zarina berkata, pihaknya telah menyita sebuah vesel pukat tunda Zon C tempatan pada kedudukan 22.9 kilometer dari Kuala Sungai Pinang pada 11 September lalu.
"Penyitaan ini dilakukan semasa pasukan penguatkuasaan Jabatan Perikanan sedang menjalankan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang dan vesel didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 27.7 kilometer seperti ditetapkan oleh syarat lesen.
"Selain itu, turut disita adalah hasil tangkapan terdiri daripada ikan campur anggaran sebanyak 500 kilogram yang dilelong dengan nilai RM500," katanya.