60 tahun dan 365 hari

Iklan
Kerajaan PH yang baru 365 hari menerajui tampuk kepimpinan negara, wajib sedar dan peka dengan suara-suara rakyat.

MEMANG dirasakan cepat sungguh masa berlalu. Jika dikuak kembali, 9 Mei setahun yang lalu, sekalian Rakyat Malaysia sibuk meraikan ‘Pesta Demokrasi’ negara, melaksanakan tanggungjawab membuang undi untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.

Menikmati sendiri situasi itu, memang sangat mengujakan. Pada tarikh itu, hari ini para pendokong dan penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahagia dan gembira mengucapkan Selamat Ulang Tahun PH dan banyaklah memorabilia meraih kejayaan itu dikongsikan di media-media sosial sebagai meraikan usia 365 hari ‘kejayaan’ itu.

Iklan
Iklan

Tidak terkecuali, yang tidak bersepakat dengan apa yang diraih PH itu, menghamburkan pelbagai bicara dan kata yang tidak enak dibaca apalagi didengar, seakan mereka lupa kita baru sahaja memasuki bulan Ramadan.

Bagi yang tidak sehaluan, apalagi sebagai pembangkang, khususnya parti yang memerintah sebelum ini, ada sahaja yang ingin dipertikaikan tanpa asas, apalagi memfitnah kerajaan yang baru setahun usianya ini.

Iklan

Seakan anak yang baru lahir, memerlukan masa untuk melakukan sesuatu kebolehan dan kemahiran dan sentiasa diberi peluang mencuba. Sewajarnya begitulah parti-parti pembangkang patut lakukan.

Perlu ditelusuri, sejauh manakah usia 60 tahun ‘peluang’ yang diamanahkan, ditatang dan dipelihara dengan sebaik dan secemerlangnya? Ambillah iktibar dan muhasabahlah.

Iklan

Kebenaran tetap terserlah

Tidak dapat dinafikan, kerajaan terdahulu tetap menggunung jasa dan pengorbanannya untuk rakyat dan negara Malaysia. Namun, kerana kesilapan yang mengancam hingga boleh mengganggu gugat situasi negara, dengan kleptokrasi, 1MDB, rasuah serta suara-suara marhaen yang diabaikan, membuatkan rakyat negara ini bangkit dan inginkan perubahan pada 9 Mei 2018 lalu.

Mereka yang sukar menerima hakikat kemenangan PH terus mencanang pelbagai untuk memburukkan imej kerajaan yang memerintah kini. Bukan mudah menerima perubahan apalagi perubahan yang besar situasi kerajaan Malaysia.

Berilah masa dan ruang, juga peluang kerajaan PH merealisasikan segala apa yang telah disuarakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Jadilah pembantu yang mampu memberikan perubahan baik kepada negara, bukan terus menjadi penghasut untuk terus memecahbelahkan rakyat.

Sampai bila rakyat negara ini akan saling berseteru? Pesta demokrasi pada 2018 lalu, telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia inginkan perubahan dan kebaikan terhadap kerajaan PH. Bersama slogan ‘Kita Bina Semula Negara,’ rakyat memasakkan kepercayaan untuk melihat Malaysia yang lebih baik, cemerlang dan gemilang selamanya.

Namun, terkadang kerana bicara-bicara yang tidak lengkap apalagi tergantung atau dengan istilah lainnya, ‘bola tanggung’, menjadikan kerajaan PH dipandang sinis, juga dihentam habis-habisan hingga mengganggu keyakinan yang sedia tertanam.

Kerajaan PH yang baru 365 hari menerajui tampuk kepimpinan negara, wajib sedar dan peka dengan suara-suara rakyat. Bukan terus memekakkan apa yang diperkatakan mereka. Paling tidak menenangkan keadaan yang dicetuskan oleh pihak pembangkang yang sentiasa berusaha mencucuk rakyat agar benci kerajaan PH ini.

Tahniah kerana dalam tempoh yang sangat muda ("baby") telah berjaya membuat beberapa perubahan yang baik untuk Malaysia. Teruskan semak dan seimbangkan apa yang utama dan perlu untuk kemaslahatan rakyat dan negara khususnya. Sering-seringlah ‘cermin diri’ dan muhasabah agar keadaan yang tidak baik seperti kerajaan 60 tahun yang memerintah tidak berulang lagi.

Pendokong dan penyokong

Berapa ramai pengikut PH yang masih setia setelah peristiwa bersejarah 10 Mei ketika diumumkan kemenangan PH? Berapa banyak hati-hati yang terluka kerana tindakan pemimpin mereka yang seakan mengabaikan perit jerih yang mereka perjuangkan untuk sebuah perubahan dan Malaysia Baharu?

Memang ini bukan masanya untuk merajuk apalagi melayan rasa kecewa yang bertamu. Tetapi para pemimpin, wajar memandang bahawa mereka itu adalah aset berharga yang bertungkus-lumus siang malam, pagi petang merealisasikan apa yang PH inginkan ketika PRU14 yang lalu.

Jangan diabaikan, aset berharga itu kerana mungkin ketika empat tahun lagi, PH tidak akan bertemu dengan mereka lagi. Boleh jadi berpaling, atau sudah tidak mahu terlibat apa-apa lagi, kerana rasa yang masih berbuku.

Sebagai rakyat biasa, yang turut sama menyaksikan pesta demokrasi di tahun 2018 itu, saya merasakan pihak kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani situasi dihadapi ahli-ahli yang jelas mendokong dan menyokong rentak yang PH bawakan.

Apalagi pada bulan mulia ini, para pemimpin parti dekatilah mereka dengan sepatutnya sebagaimana mereka telah berusaha keras serta memberi kepercayaan kepada PH untuk menerajui Malaysia. Masa yang ada tidaklah lama, jadi pergunakanlah semanfaat mungkin agar bukan hanya satu penggal diberikan mandat itu.

Letakkan mereka yang selayaknya di posisi sepatutnya. Bukan memberikan kepada mereka yang ‘baru lompat parti’ jawatan-jawatan tertinggi itu. Hingga banyak ahli yang terasa dengan sikap tidak bijak kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri. Kerana lebih menjulang dan mengangkat mereka yang dahulunya, ketika pilihan raya menghentam hebat, apalagi menebarkan cerita tidak benar mengenai calon-calon PH. Tanpa rasa bersalah, ia dilakukan.

Apakah memang ingin sepenggal?

Nyatakan apa yang dikata. Bagi yang menjadi orang kanan atau kiri depan atau belakang orang-orang penting dalam kerajaan Persekutuan mahupun negeri, janganlah terlalu ghairah membenarkan segala yang tidak sepatutnya dibenarkan. Paling tidak berusahalah menjadi orang yang dapat memperbaiki ketika pemimpin itu tersalah kata mahupun tersilap bicara.

Siapa pun kita, rakyat melihat dan menilai bagaimanakah sebenarnya pemimpin yang ada kini. Jangan berani berkata tetapi tidak kuat untuk menyatakan apa yang dikata. Biarlah yang diucapkan itu bukan sekadar ‘penyedap’ rasa ketika mendengarnya tetapi biarlah benar-benar akan mengotakan apa yang diperkatakan itu.

Terkadang akibat kecuaian yang kecil itu memberi ruang yang besar kepada mereka yang tidak menyenangi kerajaan PH ini, apalagi di pihak pembangkang untuk melemparkan pelbagai kata yang tidak sedap didengar.

Malaysia negara rahmah

Sebagaimana kata-kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad, dalam ucap utamanya pada perhimpunan tahunan IKRAM 2016,"Negara rahmah mithali yang ingin kita bangunkan di Malaysia ialah sebuah negara rahmah yang menaungi penduduknya, melebarkan naungan tersebut ke bahagian lain dunia secara berperingkat-peringkat pada masa hadapan agar dunia sepenuhnya berubah kepada dunia baru yang rahmah, saling menyantuni semua penjurunya dengan santunan kemanusiaan, santunan ihsan dan santunan peradaban.”

Jadi, tentunya jika 12 ciri asas negara rahmah, yang menjadi impian setiap jiwa rakyat Malaysia yang inginkan perubahan dapat diikuti oleh kerajaan PH, tentunya ia sesuatu yang memberi nilai tambah apalagi tempoh yang panjang untuk PH menerajui negara ini. Bersama kita telusuri satu persatu mengenai ciri yang dinyatakan itu.

1- Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti

2- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan 3- Tadbir urus yang baik

4- Undang-undang yang adil

5- Masyarakat yang berilmu berakhlak dan penyayang

6- Institusi keluarga yang utuh

7- Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni

8- Ekonomi yang mampan

9- Agihan kekayaan yang saksama

10- Pembangunan yang lestari

11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat yang terpelihara

12- Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Tentunya telah ada yang diaplikasikan oleh kerajaan kini, walaupun bukan atas dasar ciri yang dibawakan oleh Ikram itu. Namun ia tentunya menjadi nilai yang matang untuk kesejahteraan rakyat dan negara tanpa membelakangkan sesia pun.

Masa tidak banyak untuk memperbaikinya. Merobohkannya cukup mudah. Kitalah perlu menjadi pembaikan itu agar ia sentiasa dan semakin utuh. Sungguh 60 tahun dengan 365 hari tetap ada bezanya, jadilah kita yang membangunkan bukan lagi yang meruntuhkan agar generasi dibina, menikmati sebenar-benar Malaysia sebagai Baldotun Thoyyibatun Warabbun Ghofur. Teruskan muhasabah.