SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz membuat laporan polis terhadap jurugambar Perdana Menteri yang mendakwa beliau menghisap rokok elektronik atau vape ketika di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Sambil menyifatkan tindakan Sadiq Ashraf memuat naik imej berkenaan di laman sosial X sebagai berniat jahat dan fitnah, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu mendakwa penyiaran gambar tersebut bermotif politik sekali gus menjejaskan imejnya sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
"Untuk makluman, saya juga telah menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang meminta saya memberikan penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) berhubung gambar tersebut.
"Saya sama sekali tidak mempunyai apa-apa masalah untuk memberi penjelasan, tetapi pada masa sama memohon jasa baik Tan Sri Speaker untuk turut meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Dewan Rakyat bagi mengetahui kedudukan sebenar.
"Selain itu saya juga memohon Speaker Dewan Rakyat meminta @sadiqasyraf yang bertanggungjawab merakam foto itu menyerahkan kepada pihak Speaker Dewan Rakyat semua gambar saya yang dirakam oleh beliau pada ketika itu. Saya yakin dan percaya beliau ada mengambil beberapa gambar ketika saya sedang berjalan keluar, namun sengaja memaparkan gambar dari satu sudut untuk memperlihatkan seolah-olah sedang menghisap vape,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, tindakan undang-undang tersebut dilakukan bagi menuntut Sadiq Ashraf membuat permohonan maaf yang disifatkan telah menjejaskan reputasi selain menjadi mangsa serangan dalam media sosial.
Beliau turut mencabar mana-mana pihak yang menuduhnya sebagai perokok membuktikan dakwaan itu dengan menunjukkan imej sedang merokok dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.
"Cabaran saya ini bukanlah bermakna saya bersikap kebudak-budakan atau mahu menunjukkan keangkuhan tetapi ia bagi membuktikan ketegasan saya tidak akan berkompromi dengan politik fitnah seperti mana dilakukan oleh pemilik akaun @sadiqasyraf,” ujarnya.