Agong berkenan serah kunci Ru'RASA, zahir penghargaan kepada UAE

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan bersalaman dengan kanak-kanak yang menunggu keberangkatan tiba baginda bagi menunaikan solat jumaat di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah,Temerloh hari ini. - Foto Bernama

TEMERLOH - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA), yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada lapan penerima di daerah ini.

Seri Paduka pada titahnya menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, atas kemurahan hati baginda memberikan peruntukan besar membantu mereka yang memerlukan memiliki kediaman sendiri.

Iklan
Iklan

"Projek Ru'RASA merupakan projek yang diusahakan pihak saya dan Presiden UAE. Bagi pihak saya dan kerajaan negeri, terima kasih kepada baginda. Saya cuma menunaikan amanah.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana melunaskan sebahagian daripada pembinaannya, iaitu 178 unit Ru'RASA akan dibina di Pahang dan sehingga kini, 92 sudah siap,” titah Seri Paduka.

Iklan

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli melawat empat Ru'RASa di Kampung Ketam, Kuala Sanggang, Kampung Batu dan Kampung Bukit Kelulut, semuanya di daerah Temerloh.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Iklan

Hadir sama, Charge D'Affaires kedutaan UAE, Aamer Hasan Alteneiji dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan terima kasih kepada kontraktor yang terlibat membina rumah tersebut dan mendoakan mereka dirahmati selalu, atas kesudian membantu golongan yang memerlukan.

Khusus kepada penerima rumah, Seri Paduka menitahkan mereka untuk menjaga rumah dengan baik dan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah tersebut.

"Harap penghuni rumah yang dikurniakan ini berterima kasih dan bersyukur. Rumah ini perlu dijaga baik dan diturunkan kepada waris. Kalau tiada waris (boleh) berhubung dengan pejabat daerah,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, seorang penerima, Mohamad Suhaimi Md Yusof, 43, dari Kampung Bukit Kelulut, menyifatkan pengurniaan rumah tiga bilik dengan satu bilik air itu, sebagai rezeki terpijak kepadanya.

Ini kerana, Mohamad Suhaimi yang bekerja di bengkel kereta telah banyak kali memohon rumah bagi rakyat kurang berkemampuan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), namun semuanya tidak berjaya.

"Sejak dulu, saya dan isteri serta tiga anak menumpang di rumah emak. Alhamdulillah, sekarang sudah ada rumah sendiri yang diterima dengan kurniaan perabot daripada Seri Paduka.

"Rumah ini cukup selesa buat kami... yang penting, anak juga gembira kerana mereka sudah besar dan kini sudah ada ruang peribadi sendiri,” kata bapa kepada tiga anak berusia antara 11 dan 19 tahun itu. - Bernama