PERMATANG PAUH - [DIKEMAS KINI] Sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To' Kandu di sini yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku pada petang Jumaat akan diteruskan pada minggu depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak akan terus belajar dalam keadaan apa sekali pun bagaimanapun mekanismenya akan ditentukan pastikan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau kelas ganti.
Menurutnya, blok sekolah yang terjejas akibat kejadian kebakaran itu akan ditutup sementara bagi tujuan keselamatan.
"Kita akan berbincang dengam Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri mengenai mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan anak-anak di sini terus mendapat pendidikan.
"Buat masa ini, tindakan untuk memastikan keselamatan keseluruhan termasuklah pendawaian dan sebagainya," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di sekolah berkenaan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya akan melakukan penilaian menyeluruh kerosakan yang dialami sekolah terbabit berikutan kebakaran yang memusnahkan lima bilik darjah.
Katanya, penilaian kerosakan itu mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari sebelum pihaknya meluluskan bantuan bencana terhadap sekolah terbabit.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan lima bilik darjah di SK Permatang To' Kandu di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada petang Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 6.02 petang sebelum beberapa pasukan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, apabila pasukan bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan empat tingkat sekolah berkenaan.