MAJLIS pengenalan 22 pasukan yang bertanding pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, berlangsung penuh meriah di Dataran Panoramik di sini, malam ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Sejumlah 131 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental dan pasukan kebangsaan, bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,278.1 kilometer (km), membabitkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia.
LTdL 2023 bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu, diikuti Peringkat 2 (Kuala Terengganu-Kota Bharu), Peringkat 3 (Jeli-Baling), Peringkat 4 (Bukit Mertajam-Meru Raya), Peringkat 5 (Slim River-Genting Highlands), Peringkat 6 (Karak-Melaka), Peringkat 7 (Muar-Seremban) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Setia Alam-Kuala Lumpur).
Terdahulu, kira-kira 300 pengunjung hadir memeriahkan majlis tersebut yang menjadi saksi kepada pengenalan piala pusingan LTdL buat julung kali sepanjang penganjurannya.
Perlumbaan Peringkat 1 bermula dari Kerteh ke Kuala Terengganu esok, meliputi jarak keseluruhan 187.4km dengan kesemua pasukan akan menempuh dua pendakian kategori empat di Jerangau dan Sekayu selain tiga zon pecut di Dungun, Ajil dan Tok Jamal. - Bernama