Tidak boleh solat sembarangan di Masjid Id Kah

Iklan
Pelawat dari luar Kashgar bergambar di hadapan Masjid Id Kah. - FOTO AFDAH MUJAP

URUMQI -"Maaf, anda tidak boleh sembahyang sekarang. Kalau nak juga tunggu sehingga jam 3 petang (Zohor), nanti ada imam yang akan mengetuai sembahyang tersebut."

Demikian jawapan seorang pengiring delegasi media apabila wartawan akhbar Okaz dari Arab Saudi, Ali Mohammed Alghandi meminta sedikit ruang untuk mendirikan solat sunat tahiyatul masjid sebaik sahaja melangkah ke dalam Masjid Id Kah di Kashgar yang terletak di wilayah autonomi Xinjiang.

Iklan
Iklan

Penulis yang berdiri di sisi Ali pada mulanya tergamam mendengar jawapan tersebut, tetapi cuba berfikiran positif kerana jadual lawatan padat selain faktor kesuntukan masa untuk bergerak ke destinasi lain sekitar bandar purba yang terletak di barat laut China itu baru-baru ini.

Sejurus pegawai tersebut beredar, Ali memandang tajam ke arah mata penulis dengan menunjukkan dua jari sambil berkata;"Tak lama pun (solat), tak sampai dua minit."

Iklan
Pelawat tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan masjid semasa solat lima waktu. - FOTO AFDAH MUJAP

Pun begitu, beberapa pengamal media beragama Islam yang mengikuti lawatan ke masjid berusia hampir 700 tahun itu akhirnya berpeluang mendirikan solat Zohor bersama jemaah tempatan.

Namun, penulis difahamkan bahawa wanita dan pelawat tidak dibenarkan mendirikan solat atau melakukan sebarang aktiviti keagamaan di masjid tersebut yang kini menjadi sebahagian daripada ikon pelancongan Kashgar.

Iklan

Berdasarkan pemerhatian penulis rata-rata jemaah yang memenuhi saf pertama dan sebahagian saf kedua adalah warga emas, tiada golongan belia dan kanak-kanak kelihatan.

Lelaki warga emas Uighur menunaikan solat Zohor di Masjid Id Kah. - FOTO AFDAH MUJAP

Penulis yang berada di masjid itu sempena program Kembara ke Zon Teras Jalur Ekonomi Laluan Sutera anjuran Pejabat Penerangan Dewan Negara China bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang andaian memandangkan delegasi media dibawa ke masjid tersebut pada hari bekerja.

Sebelum ini, imam Mamat Juma berkata, jumlah jemaah di masjid yang dibina semasa era Dinasti Ming itu menurun secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini mungkin disebabkan kesibukan waktu bekerja.

Mamat bagaimanapun menolak andaian serta laporan media Barat bahawa masjid dirobohkan dan umat Islam di Xinjiang ditindas atau kebebasan agama mereka disekat.

"Di masjid ini sesiapa sahaja pun boleh solat lima waktu apa lagi solat Jumaat.

"Laporan (masjid dirobohkan) itu adalah tidak benar, sebaliknya ia adalah proses penambahbaikan bagi menggantikan struktur yang rosak," katanya yang merupakan anak lelaki kepada imam Juma Tahir yang mati dibunuh pada Julai 2014.

Imam Mamat Juma (tengah) mendengar pertanyaan daripada delegasi media yang mengikuti lawatan ke Masjid Id Kah baru-baru ini. - FOTO AFDAH MUJAP

Juma diserang tiga lelaki dipercayai puak pelampau di luar Masjid Id Kah selepas selesai mengimamkan solat Subuh kerana beberapa kali mengutuk fahaman ekstremisme dan jenayah keganasan di Xinjiang.

Sebaliknya, pihak yang tidak senada dengan Juma mendakwa beliau sebagai pegawai kerajaan yang dilantik pemerintah China.

Ikut sukatan pelajaran China

Sementara itu, Mamat memberitahu penulis bahawa pihaknya hanya mengajar ilmu fardu ain dan fardu kifayah kepada individu berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Menurutnya, ini kerana kanak-kanak Islam di Kashgar terikat dengan sukatan pelajaran yang telah disediakan oleh pemerintah China.

Sekumpulan lelaki Uighur menuju ke pintu keluar Masjid Id Kah selepas selesai menunaikan solat Zohor. - FOTO AFDAH MUJAP

"Anak-anak kecil akan ke sekolah dan mereka mengikuti kokurikulum yang telah disediakan oleh pemerintah.

"Jadi di sini ilmu fardu ain dan fardu kifayah hanya diajar kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas sahaja.

"Dan tiada paksaan untuk mengikutinya," ujar Mamat kepada penulis.


INFO

- Masjid Id Kah atau Eidgah adalah masjid terbesar di wilayah autonomi Xinjiang dan dibina oleh Saqsiz Mirza pada tahun 1442.

- Namun, struktur lamanya sudah wujud sejak tahun 996 dan meliputi 16,800 meter persegi.

- Ia boleh memuatkan sehingga sekitar 10,000 orang untuk solat Jumaat.

- Pelawat dikenakan bayaran masuk dan masa melawat ditutup setiap kali waktu solat.

- Masjid ini menjadi salah satu tarikan apabila berkunjung ke Kashgar.