SEPERTI yang ramai tahu, proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan bermula pada Sabtu di Dewan Orang Ramai Felda Kamasul, Bentong, Pahang.
Bagaimanapun, baru sahaja tirai gelanggang PRK dibuka, sudah ada penularan video dan gambar yang mempunyai unsur-unsur fitnah atau dakwaan palsu melibatkan ahli politik sama ada pembangkang mahupun kerajaan.
Dakwaan palsu menerusi media sosial itu pastinya memberi impak negatif terhadap imej seseorang lebih-lebih lagi jika individu itu dikenali ramai.
Sudah tentu, dijangka platform media sosial akan dipenuhi dengan isu-isu sebegini memandangkan negara masih lagi berdepan dengan PRK Pelangai yang bakal berlangsung 7 Oktober depan.
Pada Jumaat, Pejabat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Khamis membuat laporan polis berhubung sebuah video tular berkenaan harga barang yang melibatkan timbalan menteri berkenaan, Fuziah Salleh.
Laporan itu dibuat menerusi Pegawai Khas Fuziah, Aidil Haryman Mat Nor, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini.
Menerusi laporan itu, Aidil Haryman memaklumkan tindakan itu bertujuan supaya siasatan segera dilaksanakan terhadap beberapa pengguna media sosial, yang catatan mereka dilihat berunsur fitnah dan menghasut rakyat agar mempercayai video lampau, yang tidak berkaitan dengan keadaan semasa.
Pada Khamis, Fuziah dilaporkan berkata, video yang melibatkan dirinya itu telah diambil di luar konteks dan ia merupakan rakaman lama yang dibuat beberapa bulan lepas.
Video berkenaan memaparkan beliau membayar beberapa barangan berjumlah RM136.30 dan berpuas hati kerana dapat membelinya pada harga bawah RM200.
Di samping itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga membuat laporan polis terhadap jurugambar Perdana Menteri yang mendakwa beliau menghisap rokok elektronik atau vape ketika di Dewan Rakyat, Selasa lalu.
Sambil menyifatkan tindakan Sadiq Ashraf yang memuat naik imej berkenaan di laman sosial X sebagai berniat jahat dan fitnah, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu mendakwa penyiaran gambar tersebut bermotif politik sekali gus menjejaskan imejnya sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Ujar Ikmal Hisham, tindakan undang-undang tersebut dilakukan bagi menuntut Sadiq Ashraf membuat permohonan maaf yang disifatkan telah menjejaskan reputasi selain menjadi mangsa serangan dalam media sosial.
Peranan kerajaan dan pihak penguatkuasaan terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) amat penting bagi memantau sebarang aktiviti penularan berita palsu di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga wajar memastikan tiada mana-mana pihak yang memanfaatkan platform media sosial yang ada bagi kegiatan menyebarkan dakwaan-dakwaan palsu.
Selain daripada itu, kesedaran juga perlu dipupuk dalam kalangan rakyat supaya mereka segera melaporkan sebarang kegiatan penyebaran berita-berita palsu yang berlaku di media sosial.
Dengan kata lain, semua orang perlu memainkan peranan masing-masing supaya penyebaran berita-berita palsu dapat dikawal, sekali gus menggalakkan pembentukan persaingan profesional antara parti-parti politik.