SHAH ALAM - Ibu bapa perlu memberi dan menunjukkan komitmen lebih tinggi dalam membesarkan anak-anak supaya menjadi rakyat yang sihat serta produktif sekali gus tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kekuatan dan potensi keluarga dalam memerangi dadah adalah lebih berkesan dan bermakna daripada semua langkah lain.
Iklan
Iklan
Katanya, penglibatan anak-anak dengan dadah bukan sahaja sebuah tragedi, tetapi ia malapetaka buat ibu bapa apabila menyaksikan anak yang dijaga, perlahan-lahan merosakkan diri.
"Gejala penyalahgunaan dadah boleh mendorong anak-anak untuk melakukan jenayah seperti mencuri, merosakkan harta benda, bergaduh, membuli, mencederakan orang lain termasuk memeras ugut untuk mendapatkan wang dan lain-lain.
"Maka, ibu bapa dengan bantuan pihak sekolah, pertubuhan agama dan agensi kerajaan perlulah bersama-sama membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam masyarakat kita,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Ahad, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan kes penagihan dadah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu kepada 118,920 penagih, berbanding 93,534 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.