Sasaran 'tanpa' emas...mari kita tengok siapa yang kena

Iklan
Kontinjen Malaysia menggalas misi memburu 27 pingat secara keseluruhan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang membuka tirai secara rasmi hari ini. - Foto FB MSN

SEPANJANG minggu lalu, 1,001 persoalan timbul dalam benak fikiran penulis. Semuanya ‘angkara’ pengumuman Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Chong Kim Fatt perihal sasaran pingat Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Dalam satu sidang akhbar pada 11 September lalu, Kim Fatt umum sasaran 27 pingat tanpa mengira kilauan warna - kali pertama dalam sejarah kontinjen Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat secara spesifik.

Iklan
Iklan

Hujahnya - eksperimen baharu itu bagi tujuan memastikan barisan atlet negara tidak berdepan tekanan - khabarnya boleh menggugat misi kontinjen Malaysia dalam memburu pingat di bumi Hangzhou nanti.

Malah, hujahnya itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pengarah Bahagian Atet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Iklan

Kata Jefri, sasaran ‘tanpa’ emas itu selepas mengambil kira pandangan semua wakil persatuan sukan kebangsaan (NSA) termasuk pendapat pakar daripada Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo, Jepun.

Nazifuddin ‘menyejukkan’ sedikit bahang panas dalam sidang akhbar itu. Jelasnya, keputusan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 nanti menjadi penentu, sama ada pendekatan baharu itu akan diteruskan atau sebaliknya.

Iklan

Tak lama kemudian, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula tampil membalas ‘serangan’ beberapa pihak yang menganggap kontinjen Malaysia sekadar mengambil 'jalan selamat' dengan tidak meletakkan sasaran emas.

Mengambil contoh kaedah diguna pakai Jepun dan Australia, Hannah memberi analogi betapa masa dan cabaran yang dihadapi atlet sudah berubah. Maka, satu kaedah baharu baharu harus menjadi praktis.

Itu antara cerita pemegang taruh terlibat yang dapat penulis simpulkan sepanjang minggu lalu. Bagaimana pula sisi cerita di pihak luar daripada pemegang taruh berkenaan.

Baik pemerhati, pengkritik, peminat sukan tanah air, sudah tentu mereka ada pendapat masing-masing. Begitu juga dengan pihak media yang sentiasa menulis ‘baik buruk’ prestasi kontinjen Malaysia.

Jika outstanding dan mencapai tahap cemerlang atau setidak-tidaknya memuaskan, sudah tentu dipuji. Jika sebaliknya, sudah tentu kritikan yang akan diberi, tetapi bukan kecaman!

Penulis sendiri ada pandangan. Jika mahu bercakap soal tekanan, setiap atlet ada tekanan tersendiri - bezanya bagaimana mereka menyerap sesuatu tekanan, itu yang akan tentukan mereka menang atau kalah.

Dalam hal ini, penulis harus beri ‘tabik hormat’ kepada Datuk Azizulhasni Awang. Sejak berbelas tahun mengikuti rapat kariernya, karakter jaguh berbasikal trek negara itu tak pernah berubah.

Bukan sahaja berani, malah beliau sentiasa bersikap optimistik. Ini baru dikatakan winning mentality! Cakap serupa bikin, tidak ada pusing-pusing.

Karakter sebeginilah yang harus dicontohi barisan atlet muda yang ada sekarang. Harus sentiasa tampil berani dengan apa keadaan sekalipun termasuk berdepan pihak media.

Jika ‘ingauan ngeri’ selepas gagal mencapai sasaran emas pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja masih menghantui, semuanya sudah menjadi sejarah buat arena sukan Malaysia.

Apa-apapun, sekarang penulis cuba bersikap rasional dan praktikal - tak mahu cepat mengkritik mahupun menyokong membuta tuli pendekatan baharu yang diguna pakai.

Penulis masih ingat lagi ketika menghadiri sidang akhbar dua bekas Menteri Belia dan Sukan - Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sesi nota serah tugas antara mereka pada 3 Julai 2018.

Ketika itu, penulis masih teringat lagi apa yang dikatakan Khairy Jamaluddin saat beliau diajukan pertanyaan berkenaan sasaran pingat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Sambil memberikan ‘amaran’ kepada Syed Saddiq, Khairy Jamaluddin mengakui soalan berkenaan sasaran pingat tidak boleh dielak setiap kali menjelang temasya sukan berlangsung.

Kisah yang berlaku di dalam salah sebuah bilik mesyuarat di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya lebih lima tahun itu sudah cukup menggambarkan natijah yang bakal diterima jika tersalah letak sasaran pingat.

Umpama ‘bom jangka’ yang sudah lama dipasang, bila-bila masa ia boleh meletup! Salah percaturan, silap langkah, buruk padahnya! Jadi langkah selamat diambil bagi mengelak ‘malapetaka’ dahsyat menimpa.

Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 pun dah nak mula. Sebaik-baiknya kontinjen Malaysia yang dibarisi 289 atlet sudah bersiap sedia dengan ‘gear lima’ sebaik obor Sukan Asia Hangzhou 2022 dinyalakan pada Sabtu ini.

Berapa jumlah pingat dibawa pulang, hanya ‘mereka’ yang dapat beri indikator tepat - sama ada sasaran tercapai atau tidak. Sebaik Sukan Asia 2022 berakhir pada 8 Oktober, ‘mari kita tengok siapa yang kena’.